Jika betullah tiada undang-undang bagi tujuan itu seperti mana dikatakan oleh beliau, apa salahnya kalau Mujahid membawa isu tersebut kepada pengetahuan Kabinet untuk membolehkan undang-undang dipinda atau digubal.

Isu halal haram tetap di bawah kerajaan, cuma yang menjadi persoalan sejauh mana bidang kuasa agensi terlibat contohnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Memang betul jabatan itu hanya terlibat menampal logo halal tetapi tidakkah ada sesuatu boleh dilakukan bagi memperluaskan kuasa termasuk menampal logo tanda ‘tidak halal’?

Awang bimbang jika tiada ketegasan dalam soal itu, ia akan menyebabkan lebih banyak restoran tidak menitikberatkan aspek bagi mendapatkan sijil halal. Ini memandangkan buat apa mahu bersusah payah untuk memperoleh sijil itu kerana umat Islam tidak akan dihalang memasuki premis mereka. Sama ada hidangan mereka benar-benar halal atau tidak, ia terserah kepada pelanggan Islam menentukannya kerana seperti mana kata Mujahid, “tidak halal bukan libatkan kita (kerajaan).”

Dalam hal ini Awang berpendapat, umat Islam boleh menggunakan kuasa mereka untuk tidak mengunjungi mana-mana restoran yang tiada sijil halal daripada Jakim. Percayalah, kalau itu dilakukan, ia akan memberi pengajaran kepada pemilik-pemilik restoran untuk mendapatkan sijil tersebut.

AWANG - Masuk restoran halal sahaja.