Difahamkan, empat jenis produk ubat tidak berdaftar utama yang dirampas tahun ini ialah produk pelangsingan, perangsang seks, penahan sakit dan injeksi kecantikan.Pengguna perlu lebih berhati-hati supaya tidak terbeli ubat-ubat berkenaan sama ada diimport atau dihasilkan di dalam negara.

Rampasan bernilai RM25.7 juta menerusi lebih 1,000 serbuan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini menunjukkan jumlahnya yang masih besar. Walaupun nilai rampasan menunjukkan penurunan, usaha membendung penjualan ubat-ubat ini tidak harus dipandang ringan.

Pengguna perlu dididik mengenal pasti ubat-ubat berkenaan serta kesan buruk produk yang mengandungi steroid, sibutramine, sildenafil dan tadafil serta hydroquinone. Ada pengguna yang terpaksa menerima rawatan di hospital akibat pengambilan ubat-ubat tidak berdaftar ini.

Awang berharap, pemantauan berterusan dilakukan terutama melibatkan 700 premis yang dikategorikan sebagai tegar. Serbuan mengejut perlu dilakukan terutama melibatkan lokasi yang dikenal pasti sebagai hotspot. Pemeriksaan di farmasi juga perlu dibuat secara rambang bagi mengesan ubat-ubat tidak berdaftar ini. Begitu juga jualan melalui talian. Orang ramai perlu melaporkan lokasi yang disyaki menjual dan menghasilkan produk berkenaan.

AWANG – Beli ubat di farmasi.