Awang tidak faham kenapakah masih lagi mahu berpolitik sedangkan negara bukanlah berada dalam keadaan senang. Terdapat 1,001 masalah rakyat yang perlu diselesaikan, apatah lagi negara kini berada dalam pentadbiran gabungan parti politik yang baharu.

Sepatutnya tumpuan diberikan kepada agenda membangunkan rakyat dan memakmurkan negara, tetapi malangnya saban hari rakyat hanya dihidangkan dengan pertembungan politik tidak berkesudahan. Apa yang malangnya, ia melibatkan komponen dalam parti memerintah.

Walaupun konflik itu mungkin melibatkan soal pertarungan kuasa dalam sebuah parti politik tetapi mahu tidak mahu, ia tetap memberi kesan kepada negara kerana orang asing akan melibatkan Malaysia berhadapan dengan ketidakstabilan politik.

Tetapi Awang berharap janganlah pula kesudahannya media dipersalahkan. Sebaliknya ahli-ahli politik sendiri perlu bijak mengawal situasi dan emosi.

Bermuhasabah dan cerminlah diri sendiri. Ini bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa serta `tak ada selera’ terhadap politik.

AWANG - Sentiasa bermuhasabah.