Apa pun situasinya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera untuk membendung kenaikan harga barang ini. Walaupun pembentukan Kabinet masih belum lengkap tetapi kementerian yang ada sebelum ini perlu mengambil perhatian terhadap situasi ini.

Tahun lalu sebanyak 10 barang disenaraikan dalam Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan iaitu lima hari sebelum dan lima hari semasa puasa. Apa pula tindakan tahun ini? Jangan biarkan pengguna yang sudah dibebani kos sara hidup tertekan dengan kenaikan harga. Bekerja dan bertindaklah segera demi pengguna.

Tidak dinafikan permintaan yang tinggi terhadap sesuatu barang menyebabkan kenaikan harga. Bagaimanapun semua pihak dalam urus niaga ini iaitu pemborong, peruncit, peniaga dan pengguna perlu mendapat pembelaan sewajarnya. Wujudkan situasi menang-menang.

Kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk membendung kenaikan harga barang ini lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Awang berharap. operasi pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih kerap dilakukan supaya pihak berkenaan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang. Semoga langkah itu dapat menyekat kenaikan harga yang tidak berpatutan dan mencegah amalan mencatut dalam kalangan peniaga.

AWANG – Kawal perbelanjaan.