Di sesetengah negara, ada yang berpuasa dalam keadaan ketakutan atau tidak tenteram disebabkan pergolakan yang berlaku. Justeru, manfaatkanlah suasana yang dinikmati pada hari ini. Jadikan Ramadan kali ini sesuatu yang amat bermakna.

Memandangkan negara baharu sahaja selesai mengadakan pi­lihan raya umum (PRU), ambillah peluang pada bulan yang penuh keberkatan ini untuk mengukuhkan kembali hubungan silaturahim yang mungkin terjejas sepanjang PRU lalu. Rapatkan kembali saf dan lupakan segala sengketa yang berlaku.

Ramadan juga membuka ruang yang lebih luas kepada peniaga-peniaga untuk meningkatkan pendapatan terutama yang berkaitan dengan jualan juadah berbuka serta persiapan hari raya. Jadilah peniaga yang jujur dan tidak terlalu mengejar keuntungan. Kepada peniaga-peniaga makanan jagalah kualiti dan kebersihan.

Awang juga ingin mengajak umat Islam untuk mengelakkan pembaziran. Jangan berbelanja mengikut nafsu sehingga menjurus kepada pembaziran ketika mengunjungi bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai juadah berbuka. Adalah lebih baik pembaziran itu disalurkan untuk kerja-kerja kebajikan melibatkan mereka yang kurang berkemampuan. Selamat berpuasa.

AWANG – Berbuka dengan tamar.