Tindakan merombak anggota pegawai yang terlibat dengan kes berkenaan sewajarnya diikuti oleh agensi penguat kuasa lain. Mungkin pertukaran kakitangan boleh dilakukan dalam jangka masa tertentu supaya anggota berkenaan tidak terlalu lama berada di satu-satu kedudukan sehingga mereka terdedah kepada pelbagai gejala kurang sihat.

Pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila seseorang itu ter­lalu selesa dengan kedudukannya. Jangan biarkan anggota ber­kenaan terjebak dengan kes-kes rasuah yang bertujuan membantu atau melindungi sindiket berkaitan aktiviti pengedaran dadah, judi haram, rumah urut, pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan dan sebagainya.

Awang mengingatkan semua pihak bahawa soal keselamatan negara tidak boleh dipermainkan. Benteng pertahanan negara tidak boleh dibiarkan lemah. Pada masa yang sama, kemungkinan agensi berkenaan dapat bergabung tenaga untuk mengesan anggota penguat kuasa yang cuba melindungi aktiviti haram ini.

Bertindaklah untuk melindungi orang awam bukannya membiarkan ‘penjenayah’ berkuasa. Hapuskan pihak yang bertindak seperti gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut. Cetuskan gelombang dan perubahan dalam kalangan anggota penguat kuasa supaya imej jabatan atau agensi mereka tidak tercalar.

AWANG – Rombak kakitangan setiap tahun.