Atas apapun alasan tindakan mereka tetap pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat di kawasan masing-masing. Majoriti mereka menang bukan atas kapasiti peribadi tetapi mewakili parti.

Kalaulah mereka berasa hebat sangat dan begitu yakin rakyat akan tetap menyokong mereka, maka sejak awal lagi mereka sepatutnya bertanding sebagai calon Bebas, bukannya memperalatkan nama parti dan kemudian bila parti tidak lagi berkuasa, mereka khianati amanah rakyat.

Awang sudah lama berasa rimas dengan perbuatan melompat parti ini, tidak kiralah melibatkan wakil pembangkang atau kerajaan. Salah tetap salah dan ia tidak boleh ‘dihalalkan’ dengan hujah politik yang memualkan.

Oleh itu kalaulah benar semua ahli politik tanpa mengira parti menjunjung prinsip demokrasi dan sentiasa berusaha melaksanakan amanah rakyat, bersatu dan berpakatlah untuk sama-sama membentangkan satu akta atau undang-undang bagi menghalang fenomena lompat parti ini.

Amanah yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya bukanlah bertujuan untuk percaturan kuasa politik sesiapa tetapi demi kesejahteraan mereka, justeru jangan jadi pengkhianat kepada amanah tersebut.

Awang – Sentiasa hormati amanah.