Marzuki menegaskan, Malaysia tidak berganjak dengan pendiriannya terhadap lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Abdul Hamid pula menyatakan PDRM akan bekerjasama dengan penguat kuasa agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengekang aktiviti mengembangkan fahaman syiah di negara ini.

Ketegasan mereka amat penting kerana kita tidak mahu ada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan kononnya atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.

Marzuki secara jelas memberi amaran kepada pelakon Hollywood, George Clooney supaya ‘menjaga tepi kain sendiri’ daripada menyibuk soal hukuman ke atas golongan LGBT. Sememangnya Malaysia tidak perlu bertolak ansur soal LGBT tersebut.

Abdul Hamid pula memberi jaminan akan menangani isu penyebaran fahaman syiah sebaik-baiknya memandangkan pihak polis sudah mendapat maklumat.

Apapun, ketegasan mereka penting kerana ketika ini Awang berpendapat sudah ada keberanian luar biasa kedua-dua kumpulan ini untuk menonjolkan diri.

Mereka tidak ada perasaan malu untuk mengaku 
LGBT dan tidak berasa takut untuk menyebar fahaman yang mereka tahu sudah diputuskan oleh Majlis Fatwa sebagai sesat.

AWANG – Tolak LGBT, lawan syiah.