Sampai bila pembunuhan atau kekejaman seumpama ini harus dibiarkan? Masyarakat antarabangsa terutama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tidak harus berdiam diri sebaliknya perlu campur tangan segera menghentikan kekejaman ini. Dunia tidak seharusnya sekadar mengutuk dan melihat keganasan berlaku.

Difahamkan lebih daripada 1,200 orang ditembak yang melibatkan kematian dan kecederaan. Demonstrasi 70 tahun Hari Malapetaka itu benar-benar membawa malapetaka. Keganasan seumpama itu sudah dijangka apabila Amerika Syarikat tetap dengan pendirian mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv.

Konflik ini dijangka berterusan. Mungkin lebih ramai jiwa termasuk kanak-kanak akan terkorban pada bulan Ramadan ini. Semuanya ini disebabkan tindakan provokasi serta kedegilan Israel.

Awang sedar, rakyat Malaysia hanya mampu membantah dan mendoakan agar kesengsaraan itu berakhir. Namun, sebagai tanda simpati dan sokongan, hulurkanlah sebarang bentuk bantuan yang diperlukan oleh rakyat Palestin. Mereka amat memerlukan bantuan termasuk perubatan dan kesihatan. Jangan biarkan rakan seagama kita bertambah derita sepanjang bulan Ramadan ini.

AWANG – Melapor, berdoa, hulur bantuan.