Malah ada yang berjaya mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan menawarkan perkhidmatan dan produk melalui laman sosial.

Dalam hal ini, Awang menyambut baik langkah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mahu terus menggunakan platform media sosial untuk mengenal pasti individu atau syarikat yang memiliki harta atau kekayaan luar biasa tetapi gagal mengisytiharkan cukai pendapatan.

Apatah lagi perniagaan menerusi online sekarang tumbuh macam cendawan selepas hujan. Ada yang meraih keuntungan berjuta-juta ringgit setahun.

Awang yakin tindakan yang dilakukan oleh LHDN ini bukan untuk menyusahkan atau bertindak kejam terhadap individu terlibat, sebaliknya mahu bersikap adil kepada semua pihak terutama pembayar cukai.

Kaedah `melakukan risikan media sosial’ yang digunakan oleh LHDN ini Awang percaya bukan sahaja boleh mengesan pengelak cukai tetapi lebih daripada itu mereka yang terlibat dalam rasuah dan penyelewengan kuasa.

Dan sudah tentu mereka yang tidak melakukan kesalahan di bawah akta LHDN tidak perlu bimbang untuk berkongsi kekayaan dan kemewahan masing-masing - yang dalam banyak keadaan sebenarnya menjadi sumber inspirasi warganet.

AWANG - Mesra media sosial.