Terdapat kebimbangan dalam kalangan rakyat bahawa bahasa Melayu terabai berikutan beberapa tindakan yang seolah-olah meminggirkan bahasa kebangsaan. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu akan menjadi keutamaan dalam urusan rasmi negara.

Bahasa Inggeris dan lain-lain hanya digunakan sebagai penjelasan kepada orang asing. Begitu juga penggunaan bahasa lain terutama dalam urusan antara negara seperti ucapan tahniah dan takziah yang dibolehkan supaya maksud surat itu lebih difahami.

Penjelasan itu diharap dapat menghapuskan persepsi pelbagai pihak berhubung kedudukan bahasa Melayu berikutan tersebarnya ‘surat rasmi’ yang menggunakan bahasa lain.

Pada masa yang sama semua pihak terutama pemimpin menghormati apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga perkara berkaitan Raja Berperlembagaan, agama Islam dan kerakyatan. Setelah 61 tahun merdeka, segala bentuk provokasi berhubung perkara ini tidak sepatutnya dibahaskan.

Awang berharap jaminan Perdana Menteri itu dipraktikkan, tidak dipandang sinis atau ditinggalkan sekadar jawapan di Dewan Rakyat. Amat malang di sebalik jaminan itu, bahasa Melayu diperlekehkan. Keresahan rakyat tidak akan berlaku jika peruntukan yang ada difahami dan dihormati.

AWANG – Kekal akhbar bahasa Melayu.