Kerajaan negeri juga perlu memikul tanggungjawab untuk memelihara alam supaya tidak dilanyak sesuka hati atas nama pembangunan. Memetik kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk S.Subramaniam semalam, sejak mengambil alih pentadbiran ne­geri, kerajaan DAP Pulau Pinang meluluskan tujuh hingga lapan kali ganda projek di cerun bukit berbanding kerajaan BN.

Jika ini benar dan berterusan, projek tebatan tidak akan berkesan. Kerajaan negeri tidak boleh lepas tangan. Kajilah semula projek pembangunan di cerun dan lereng bukit, penarahan bukit, penebangan pokok di bukit dan penambakan laut yang menyebabkan kemusnahan ekosistem dan ekologi.

Lindungilah alam terutama tanah bukit dengan menanam lebih banyak pokok untuk mencegah hakisan tanah.

Awang percaya, projek tebatan hanya sia-sia jika pihak berkuasa tidak menangani masalah banjir kilat dan tanah runtuh yang berpunca daripada peningkatan larian air permukaan akibat pe­nebangan pokok dan penarahan bukit. Tidak perlu berdolak-dalik sebaliknya ambillah langkah yang benar-benar mesra alam.

AWANG – Belajar daripada kesilapan.