Apabila membaca pandangan beberapa pakar berhubung kejadian itu, Awang boleh menyimpulkan ada sesuatu yang tidak kena atau ada kelemahan ketara di pihak berkuasa dalam menanganinya.

Awang melihat semua pihak macam kelam kabut, malah kenyataan dibuat pula bercelaru sehingga meresahkan rakyat tetapi pada masa sama jumlah mangsa semakin meningkat.

Bagaimanapun Awang tidak berhasrat menuding jari kepada sesiapa. Ia adalah bencana yang memerlukan kerjasama semua pihak menangani sama ada dari segi idea mahupun tindakan.

Oleh itu Awang berharap kerajaan akan memikirkan sesuatu dalam hal ini. Kita harus dilihat benar-benar bersedia berhadapan dengan bencana sebegini.

Awang percaya di negara lain, dalam keadaan tidak kepastian punca kejadian atau bahan terlibat, mereka pasti sudah mengisytiharkan darurat di kawasan itu.

Namun Awang lihat kita masih teragak-agak, sehingga ada kenyataan menganggap ia bukan perkara besar dan masih terkawal. Awang serah kepada rakyat untuk menilai tetapi yang penting kes pencemaran toksik itu menunjukkan kita masih lemah menguruskan bencana.

AWANG - Doa untuk penduduk Pasir Gudang.