Pendirian ini adalah tepat memandangkan seperti mana kata Peguam Negara, Tommy Thomas terdapat peningkatan jumlah ucapan berunsur kebencian terhadap kaum, agama dan institusi diraja.

Sememangnya Awang sudah lama menyedari perkara ini. Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas nama Malaysia Baharu, kebebasan bersuara sudah disalahgunakan. Ada kelompok yang tidak segan silu atau berasa takut untuk menyentuh perkara-perkara dianggap sensitif dan boleh mencetuskan ketegangan dalam negara.

Apabila tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa maka terpancullah soal kebebasan bersuara dan hak demokrasi. Lebih malang lagi sudah ada keberanian luar biasa untuk mengkritik keputusan mahkamah dalam sesuatu kes.

Awang berpendapat, perbuatan seumpama ini tidak harus dibiarkan. Akta Hasutan tidak boleh sewenang-wenangnya dihapuskan atau digantikan dengan undang-undang lain yang lebih longgar kerana jika kita tersilap langkah pasti negara kita dalam bahaya.

Awang - Tidak suka menghasut