Semoga penjelasan itu dapat diterima. Pada masa yang sama, semua pihak terutama menteri Kabinet perlu lebih berhati-hati ketika membuat kenyataan. Sebagai orang baharu, tindak tanduk dan kata-kata mereka sentiasa dalam pemerhatian.

Banyak kenyataan menteri sebelum ini tersasar dan terpaksa memohon maaf. Justeru jangan gopoh, tersilap atau terlepas cakap terutama isu-isu yang dianggap sensitif. Buang sikap seolah-olah mahu menjadi ‘hero’ atau ‘dendam’.

Dalam isu LGBT, penegasan menteri adalah jelas iaitu menolak tuntutan yang menyanggahi nilai-nilai norma, budaya, agama serta undang-undang. Begitu juga menolak homoseksual.

Golongan ini perlu didekati supaya mereka dibimbing ke jalan yang lebih baik. Kesilapan silam perlu diperbetulkan. Setiap insan berpeluang menentukan hala tuju kehidupan. Mereka mampu memilih atau dipandu ke jalan yang lebih baik.

Awang ingin melihat apakah tindakan yang boleh dilakukan dalam melayani isu ini. Memang sulit untuk mencari jalan keluar. Setiap insan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Persoalannya, mampukah ketelanjuran mereka diperbetulkan?

AWANG - Mencari jalan keluar.