Bukan perkara baharu tetapi apakah usaha yang dilakukan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan itu? Saban tahun, ada sahaja isu berkaitan bahasa ini dibincangkan. Setiap kali dibangkitkan, timbul pelbagai langkah penyelesaian bagi meletakkan bahasa itu di kedudukan sebenarnya. Apakah hasilnya?

Perkara yang sama terus dibincangkan di pelbagai peringkat. Memang benar selepas setengah abad merdeka, kita masih bercakap soal perjuangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sedangkan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Banyak masa dihabiskan untuk membincangkan perkara remeh mengenai bahasa termasuklah berkaitan doktor kerajaan wajib lulus Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Awang percaya, isu ini akan dibincangkan selagi tidak ada ke­sungguhan untuk meluaskan penggunaannya di semua pe­ringkat. Banyak program yang kononnya mahu memartabatkan bahasa Melayu tetapi hasilnya tidak begitu menggalakkan. Isu ini perlu ditangani tanpa dilihat mempunyai unsur politik atau perkauman. Tanpa langkah konkrit, darjat bahasa kebangsaan akan terus merosot atau digunakan sejumlah khalayak sahaja.

AWANG - Kekal akhbar berbahasa Melayu.