Kes terbaharu melibatkan 47 warga Malaysia ditahan di penjara di Kemboja sejak 11 Disember lalu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian atas talian di negara berkenaan sepatutnya tidak berulang.

Awang tidak mahu sentuh isu siapa betul siapa salah dalam kes ini walaupun difahamkan mereka menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa berselindung di sebalik tawaran kerja bergaji lumayan.

Pada Awang, hitam putih kehidupan terletak di tangan diri sendiri. Sejak 10 tahun lepas lagi, macam-macam taktik digunakan terutama oleh sindiket dadah antarabangsa untuk menjadikan anak muda ‘keldai peliharaan’ mereka.

Dalam satu kes pada 2016 contohnya, hanya kerana mengejar upah RM500 bagi setiap beg berisi ‘kopi segera’ dan ‘biskut’ yang dibawa, kira-kira 20 rakyat Malaysia yang menjadi ‘keldai dadah’ di sempadan Malaysia-Thailand meringkuk dalam penjara.

Justeru, Awang ingin ingatkan rakyat Malaysia yang menerima tawaran pekerjaan atau percutian membabitkan luar negara supaya menyemak agensi yang menawarkan perkhidmatan terbabit di kedutaan atau Wisma Putra.

AWANG - Sentiasa beringat, berpesan.