Kalau tidak keberatan, Awang nak tambah satu lagi parti iaitu MCA yang patut menyahut seruan sama ke medan tempur pilihan raya umum ke-14 itu.

MCA dan Gerakan dibadai kekalahan teruk dalam PRU-13 lalu. MCA cuma memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi negeri waktu itu - menyusut daripada 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri pada PRU-12.

Gerakan pula hanya menang satu kerusi Parlimen (Simpang Renggam, Johor) daripada 11 kerusi yang ditandingi. Tetapi sempat menggapai kerusi Parlimen Teluk Intan selepas itu. Kerusi negeri pula sekadar tiga sahaja diperoleh.

Kekuatan UMNO yang meraih 88 kerusi Parlimen pada 2013, beza satu kerusi sahaja iaitu 89 yang dimiliki seluruh pakatan pembangkang belum cukup memenangkan Barisan Nasional (BN).

Dan meskipun parti komponen kedua terbesar BN kini disandang oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PPB) dari Sarawak, MCA dan Gerakan jangan buat peduli sahaja.

Peranan MCA dan Gerakan amat diperlukan untuk mengasah kembali ketajaman BN. PRU-14 inilah masanya untuk berdepan dengan DAP sebagai anak jantan dengan membongkar segala kelemahan parti cauvinis itu.

Jangan hanya bermain di permukaan.

AWANG - Tidak ‘menikus’.