Paling malang selain orang awam, turut terkena tempiasnya ialah pelajar yang sekolah mereka berdekatan tempat kejadian. Persoalannya di manakah silapnya sehingga memungkinkan bencana itu berlaku?

Walaupun Awang lega kerana Jabatan Alam Sekitar (JAS) dikatakan sudah mendapat petunjuk bagi memberi maklumat berkaitan pihak yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu tetapi apa yang lebih penting ialah kenapakah seolah-olah tiada langkah awal bagi mencegah kejadian itu?

Oleh itu Awang meminta pihak berkuasa supaya benar-benar memandang serius kejadian yang berlaku dan melakukan tindakan atau usaha lebih tegas bagi mengelakkan ia berulang. Kita tidak boleh selama-lamanya mengamalkan sikap hanya kelam-kabut selepas sesuatu tragedi terjadi.

Soal perbuatan mencemar dan memusnahkan alam sekitar bukanlah perkara baharu, malah ia sudah acap kali berlaku di seluruh negara, oleh itu bertegaslah! Pastikan mereka yang terlibat dikenakan hukuman setegas-tegasnya sebagai pengajaran.

AWANG – Benci pencemaran.