Syukurlah ada juga diskaun sekali pun tawaran kerajaan Pakatan Harapan itu tidak dapat mengatasi lima hari tol percuma seperti dijanjikan Barisan Nasional (BN) sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Kepada pengguna, selamat memandu. Amalkan gaya pemanduan secara berhemah bagi mengelakkan kemalangan maut atau menyebabkan kecederaan. Jangan rosakkan tujuan pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya bersama keluarga serta rakan-rakan.

Biarlah hasrat berhari raya itu tercapai tanpa rasa sedih dan kesal akibat kemalangan. Berhati-hatilah di jalan raya atau lebuh raya yang akan melihat pertambahan kenderaan yang mendadak. Pesanan kepada pemandu, patuhilah had laju dan bebaskan seketika telefon bimbit ketika memandu.

Awang percaya banyak tip dikongsi bagi memastikan perjalanan ke destinasi masing-masing lebih selamat. Ingatlah, punca utama kemalangan adalah kenderaan terbabas, memandu me­lebihi had laju, tidak mengikut lorong pemanduan dengan betul, pemandu mengantuk dan tertidur. Berehatlah secukupnya dan pastikan kenderaan diselenggara dengan baik.

AWANG - Letih layan sesak di lebuh raya.