Sudah pasti langkah itu akan menggalakkan lebih ramai pelancong ke negara ini yang sememangnya terkenal dengan begitu banyak destinasi pelancongan terutamanya pulau-pulau. Dalam usaha kita mahu pelancong datang, tidak sewajarnya ada peraturan yang boleh membuatkan mereka berasa berat hati mengunjungi negara kita.

Pada masa sama, Awang berharap promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 akan dipertingkatkan sebab ketika ini ia dilihat agak perlahan, malah mungkin rakyat kita sendiri pun tidak tahu mengenai perkara itu.

Justeru, Awang mencadangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempergiatkan usaha bagi menguar-uarkan perkara tersebut. Selain promosi dalam media tempatan, ia juga boleh dilakukan melalui media antarabangsa.

Awang percaya jika usaha gigih dilakukan, tidak mustahil kita akan mencatatkan jumlah kedatangan pelancong yang memberangsangkan dan seterusnya membolehkan negara memperoleh pendapatan tinggi melalui industri tersebut.

AWANG – Melancong dalam negara.