Ini bagi mengelakkan jentera kerajaan diheret sama dalam kempen PRK kali keenam itu, sekali gus merealisasikan impian kerajaan Pakatan Harapan sendiri yang nekad berpegang pada prinsip pelaksanaan pilihan raya yang bersih dan adil.

Semasa tempoh bertenang itu nanti yang boleh dikuatkuasakan bermula selepas hari penamaan calon Sabtu 16 Februari ini, kita berharap tidak ada kelibat menteri-menteri menganjurkan program kementerian masing-masing di Semenyih.

Lebih penting lagi tidak diumumkan secara tiba-tiba ‘projek-projek besar’ yang dikhuatiri ditafsirkan sebagai ‘rasuah’ untuk memancing undi.

Pengalaman semasa kempen PRK Cameron Highlands baru-baru ini boleh dijadikan iktibar.

Dan masih terngiang-ngiang di telinga Awang amaran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tempoh hari bahawa kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati bersalah menggunakan jentera dan aset kerajaan ketika berkempen pada PRK Cameron Highlands.

AWANG - Benci adegan flip-flop.