AWANG lega dalam kehangatan isu tutup pusat tahfiz, pelbagai pihak bersedia membantu pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah yang diasaskan oleh penceramah bebas Datuk Mohd Kazim Elias. Kerajaan negeri Perak juga sedia membantu demi kepentingan para pelajar dan kakitangan pusat itu.
Diharapkan langkah itu dapat membantu operasi pusat itu yang menghadapi masalah kewangan. Walaupun cadangan awal hanya melibatkan Unit Tahfiz al-Quran tetapi eloklah unit itu kekal bersama Pondok Pengajian Dewasa dan Tadika Nurul Barakah.
Pembiayaan operasi memang sukar jika segala kos pengurusan hanya dibiayai wang hasil daripada kuliah, ceramah dan jualan buku atau cakera padat penceramah itu. Undangan terhadap penceramah pula dalam keadaan pasang surut. Jika dahulu terpaksa ditempah berbulan-bulan tetapi hari ini keadaan berubah.
Selebriti juga tidak selamanya kekal pada kedudukannya, lebih-lebih lagi apabila keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Mungkin yang membimbangkan apabila ada dakwaan ceramah dibatalkan atau ada sekatan. Diharapkan ia tidak ada kaitan dengan politik.
Awang percaya ramai yang sedia membantu pembangunan pusat tahfiz. Amat malang jika pusat ini ditutup kerana kemudahan serta kawasan sekitarnya amat menarik, tidak dibina sekadar ada. Semoga isu ini tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak bagi mengukuhkan cadangan penutupan pusat tahfiz. Penutupan boleh dilakukan jika ‘keselamatan’ pelajar terancam.
AWANG – Jual buku UKE.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 5 FEBRUARI 2019