Ramai yang masih tertanya-tanya sama ada punca kematian disebabkan jangkitan kencing tikus atau penderaan. Ketika ini biarlah polis meneruskan siasatan setelah Kementerian Kesihatan menyerahkan laporan hasil bedah siasat kepada polis. Laporan itu akan membantu melengkapkan siasatan.

Sementara menanti keputusan polis, semua pihak diharap tidak membuat pelbagai spekulasi atau mendengar khabar angin berkaitan kes tersebut. Kementerian Kesihatan pula perlu tampil memberi penjelasan kepada keluarga Allahyarham hasil siasatan yang ­berasaskan sains melibatkan pakar perubatan.

Hakikatnya, keluarga Allahyarham berhak mendapatkan keadilan mengikut undang-undang. Mereka bebas mengambil tindakan yang difikirkan sesuai.

Bagi Awang, di sebalik kes ini, sedikit-sebanyak telah me­nimbulkan kesedaran kepada madrasah berkenaan dan yang lain untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pengambilan pelajar dan kakitangan. Beberapa langkah keselamatan juga diambil bagi mengelak kejadian serupa berulang. Langkah itu diharap dapat memastikan anak-anak belajar dalam suasana yang lebih selamat dan kondusif.

AWANG – Tunggu hasil siasatan polis.