Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menyem­purnakan majlis pelepasan tim tinjauan itu yang dikenali sebagai `Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya - Negaraku Prihatin’, ke Chittagong.

Pelaksanaan misi itu memberi isyarat bahawa Malaysia akan berusaha melakukan apa sahaja bagi meringankan beban pen­deritaan umat Islam Rohingya yang dilayan lebih rendah daripada haiwan di tanah air sendiri.

Seperti mana kata Najib, skala keganasan yang dilakukan terhadap etnik itu di wilayah Rakhine, Myanmar adalah satu malapetaka besar, justeru Malaysia tidak mahu sekadar membuat kenyataan atau seruan. Apatah lagi Perdana Menteri menegaskan, berdasarkan laporan diterima, etnik berkenaan sedang dizalimi dengan tindakan tanpa unsur kemanusiaan.

Awang yakin usaha Malaysia tidak akan berakhir di situ sahaja. Pelbagai langkah lain akan dilakukan bagi menamatkan kegilaan dan kebiadaban tentera Myanmar. Oleh itu adalah perlu negara-negara ASEAN lain turut bersama negara ini memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya. Ini bukan soal agama atau kaum, tetapi satu gerakan penghapusan etnik secara terancang oleh sebuah kerajaan yang mungkin memiliki jiwa lebih teruk daripada binatang buas.

AWANG - Sedih.