Berdasarkan perkembangan dan pencapaian semasa, Malaysia dijangka tidak menghadapi laluan sukar untuk mengulangi kejayaan pada edisi Ke-21 tahun 2001 apabila muncul juara keseluruhan dengan 111 pingat emas. Harapan rakyat Malaysia, jumlah itu akan melebihi sasaran atau kutipan yang dibuat pada 2001.

Difahamkan, dengan memperoleh 104 daripada 405 pingat emas yang dipertandingkan, mana-mana negara mampu muncul juara keseluruhan. Walaupun keyakinan muncul juara itu ada, kontinjen negara tidak boleh berada dalam keadaan selesa.

Pesaing negara iaitu Thailand yang menyasarkan 100 pingat emas tidak boleh dipandang mudah . Begitu juga jangan meremehkan kemampuan Indonesia. Justeru, atlet yang menjadi sasaran emas harus membuktikan keupayaan mereka di sam­ping sokongan atlet lain untuk mencipta kejayaan di luar jangkaan.

Awang juga berharap, Malaysia mampu menyumbangkan ibu segala pingat emas, melalui sukan bola sepak. Buktikan keupayaan beraksi di gelanggang sendiri di hadapan para penyokong. Jadikan edisi kali ini sesuatu yang bersejarah bagi meraikan Hari Kebangsaan 2017. Ayuh rakyat Malaysia, kita bangkit bersama, sehati sejiwa menyokong atlet negara memburu emas.

AWANG – Lega dengar pengumuman Khairy.