Oleh itu, Awang berharap pihak berkuasa tidak akan berdiam diri. Kumpulan yang terlibat perlu dikenakan tindakan tegas. Ini bukan soal hak asasi manusia tetapi ia mencabar undang-undang dan kehidupan bermoral masyarakat Malaysia. Ramai pihak menentang dan mengecam keberanian kelompok tersebut, justeru tindakan perlu diambil sebagai pengajaran.

Kita sama sekali tidak boleh membenarkan kelompok yang membawa cara hidup songsang ini besar kepala atas alasan kononnya ia hak mereka dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Awang percaya rakyat sedang menanti apakah langkah dan tindakan pihak berkuasa dalam menangani kumpulan tersebut.

Janganlah kononnya atas alasan Malaysia Baharu, maka kelompok ini mahu mengambil kesempatan mempromosikan cara hidup yang amat bertentangan dengan norma-norma agama. Malaysia bukan negara yang segala-galanya bebas. Kebebasan yang diberikan kepada rakyat ada hadnya dan tidak boleh disalah gunakan. Justeru Awang menggesa tindakan diambil segera.

Awang sentiasa yakin dengan kewibawaan pihak berkuasa. Kalaulah dalam kes himpunan berkaitan politik yang tiada permit, begitu cepat tindakan diambil, takkanlah layanan sama tidak boleh diberikan kepada kumpulan songsang ini?

Awang percaya rakyat pasti bersama pihak berkuasa.
 

AWANG – Menyampah tengok gelagat LGBT.