Pendekatan seperti ini bukan baharu. Pakatan Harapan sendiri pernah berbuat demikian dalam pilihan raya umum lepas di Parlimen Batu menerusi calonnya yang mesra PKR.

Formula hampir serupa pernah dipraktikkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem (Allahyarham) semasa BN memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya Sarawak, 8 Mei 2016.

Adenan mengetengahkan konsep calon langsung atau Direct Candidate iaitu calon yang diberi keistimewaan mewakili BN de­ngan menggunakan lambang dacing. Selepas pilihan raya, semua calon boleh memilih parti komponen BN yang ada untuk mereka menjadi ahli.

Ia suatu strategi politik dalam memastikan individu mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat tetapi tiada jawatan dalam parti diberi peluang untuk menggalas mandat rakyat.

Ini juga bermakna UMNO, MCA dan MIC realistik dengan mengetepikan keegoan, kepentingan peribadi dan organisasi yang diwakili, dengan akur ada waktunya kerusi tradisi harus dikorbankan demi kemenangan sekali gus kelangsungan BN.

Dan untuk pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Januari ini yang masuk kali kelima selepas PRU-14 lepas, Awang yakin BN akan berkongsi isu-isu berkepentingan rakyat yang diperjuangkannya dalam tempoh lapan bulan ini. Banyak isu yang Awang percaya sudah berada dalam kotak peluru kempen jentera BN.

AWANG – Bereksperimen yang berbaloi.