Kini sudah sampai waktu supaya perkara menipu kelayakan akademik ini ditangani secara serius dan hukuman tegas termasuk penjara perlu dilaksanakan.

Ini supaya para pelaku sedar diri bahana menipu kelayakan akademik diri apatah lagi bagi yang berjawatan tinggi dalam Kabinet dan kerajaan.

Ketegasan adalah perlu supaya pelaku ini malu dengan tindakan menipu sijil dan menerima apa sahaja kelayakan diri yang ada. Elakkan menipu rakyat terutama para pengundi yang gigih menyokong sekian lama.

Tidak ada salahnya jika sekadar memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja atau hanya penerima sijil dari

pusat pengajian dalam negara.

Yang penting, manusia dinilai atas kejujuran dan kejernihan segumpal daging yang diberi nama hati. Bukan dari sijil atau kelayakan akademik yang dimiliki.

Hati ini mahal dan sangat berharga. Ini kerana Allah melihat pada hati kita, bukan pada sijil, rupa dan jumlah markah diperoleh. Begitu juga manusia akan lebih menghargai mereka yang jujur dan menerima diri seadanya tanpa perlu menipu.

Tetapi janganlah kata menipu sijil kelayakan ini lebih baik dari si perompak wang negara. Tidak ada bezanya di mata Tuhan si penipu dan perompak. Bak kata pepatah, Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.

Awang – Bohong sunat pun tak pernah...