Satu persatu sudah dijelaskan dan dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Awang percaya pembentangan itu mampu memberi nafas baharu bukan sahaja kepada pengurusan Felda khususnya dari segi integriti dan tadbir urus yang baik tetapi juga mampu membela nasib peneroka.

Penghapusan kadar faedah di atas pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil yang dibebankan kepada peneroka sudah pasti akan banyak membantu golongan tersebut mengurangkan beban kewangan mereka.

Begitu juga apabila kerajaan memutuskan untuk menyiapkan 4,794 unit rumah generasi kedua yang terbengkalai. Bagaimanapun Awang berharap usaha meningkatkan sosioekonomi kawasan tanah rancangan tidak terhenti di situ sahaja.

Banyak lagi harus dilakukan bagi membolehkan kawasan berkenaan terus mencapai kemajuan dan paling penting menggalakkan generasi kedua Felda meneruskan usaha ibu bapa mereka.

Apapun Awang yakin kerajaan akan melakukan yang terbaik bagi membela peneroka Felda. Ia termasuklah memastikan agensi itu benar-benar diuruskan oleh mereka yang profesional seperti mana dijanjikan bukannya lantikan politik.

AWANG - Sentiasa bela nasib peneroka.