Perjalanan ECRL dari terminal Gombak ke Kota Bharu hanya mengambil masa kira-kira empat jam. Tidak terbayang limpahan ekonomi yang tercetus daripada projek bernilai RM55 bilion ini.

Kemudahan yang dijangka siap menjelang 2024 seperti ini sangat dinanti-nantikan khususnya oleh penduduk Kelantan. Ini lebih-lebih lagi apabila projek lebuh raya rakyat di Kelantan tidak menjadi kenyataan.

Kali ini, ECRL adalah projek nyata. Kerajaan juga, di sebalik kebimbangan penguasaan syarikat dari China, telah meletakkan syarat-syarat khusus bagi menjaga kepentingan tempatan.

Apa yang penting bagi Awang, pihak pelaksana projek mega ini perlu tegas mematuhinya. Awang tidak mahu melihat projek tersebut gagal termasuk dari aspek limpahannya kepada kepen­tingan tempatan.

Pengkritik malah pengecam hanya menunggu waktu sahaja. Bayangkan jika projek MRT Kajang-Sungai Buloh yang sudah siap pun boleh dieksploitasi dengan pelbagai tohmahan, inikan pula projek yang masih dalam pembinaan.

AWANG - Sabar menunggu 2024