Berita yang bagi Awang dalam kategori ‘rosak’ itu kemudian diiringi dengan sekeping gambar dalam Facebook minggu lalu memaparkan bekas Perdana Menteri itu berpelukan dengan dua orang yang dikatakan dari Unit Tindakan Khas (UTK).

Padahal gambar itu diambil tahun lalu. Lebih menjengkelkan lagi tiada kaitan dengan penarikan semula pengawal peribadi bekas pemimpin itu.

Hanya kerana mahu meraih simpati, berita ‘rosak’ seperti itu tidak lain tidak bukan bermotif jahat. Cuma mahu menggambarkan kerajaan bersikap kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Penjelasan Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam yang menafikan dakwaan menarik kemudahan mana-mana bekas Perdana Menteri lebih mengejutkan Awang di perenggan ‘perjawatan yang diperuntukkan kepada bekas Perdana Menteri itu adalah sebanyak 21 perjawatan’.

Dan kesemua perjawatan itu rupa-rupanya ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Ia meliputi pembayaran gaji, elaun tuntutan dan lain-lain kemudahan yang layak dinikmati sebagai penjawat awam.

Tetapi kalau dilihat tahap kebencian individu itu sehingga sanggup memfitnah, mentohmah malah bertekad menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, rasa Awang rakyat sendiri boleh menghakiminya.

AWANG - Sentiasa semak fakta.