Sebenarnya Awang tidak terkejut dengan pendedahan tersebut kerana sudah dimaklumkan oleh satu sumber sejak sebulan lalu bahawa itu yang berlaku dalam kebanyakan kementerian pada masa ini.

Pada 5 April lalu, akhbar Awang melalui ruangan Forum menyiarkan satu surat pembaca yang menceritakan bagaimana di bawah Malaysia Baharu campur tangan politik dalam urusan pentadbiran kerajaan kini bertambah teruk.

Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin mungkin menyedari masalah tersebut justeru itulah beliau mengingatkan PH supaya menaruh kepercayaan terhadap penjawat awam sekiranya ingin berkuasa.

Awang percaya dalam soal ini menteri-menteri semua tiada masalah tetapi yang selalu mengada-gada adalah pegawainya. Kadang kala mereka pula melebih-lebih seolah-olah mereka yang menjadi menteri. Itulah yang diberitahu kawan-kawan dalam jabatan kerajaan mahupun media kepada Awang. Oleh itu sebelum terlambat ubahlah perangai kerana seseorang yang mendapat jawatan melalui kuasa politik perlu faham nasib mereka di tangan rakyat termasuk penjawat awam.

Awang - Dengar banyak cerita.