Bagi Awang, kita tidak boleh salahkan republik itu. Faktor penarik mempengaruhi bakat-bakat itu untuk berkhidmat di sana.

Oleh itu, pendedahan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia, Datuk Dr. Adnan Alias yang mendakwa 13 kes bakat dalam bidang perbankan dan kewangan Islam dicuri negara lain setiap bulan adalah tidak memeranjatkan.

Bukan dalam bidang itu sahaja, banyak lagi bidang lain yang dicuri orang.

Persoalannya dalam masa kita mempunyai TalentCorp Malaysia yang ditubuhkan untuk 'mencuri' bakat-bakat dari negara luar, apakah bakat dalam negara sendiri dilupakan?

Insentif, imbuhan yang menarik, suasana kerja merupakan faktor mendorong banyak bakat-bakat profesional muda dan terlatih di negara ini melarikan diri ke negara luar.

Bagi Awang, ia mungkin merugikan negara yang telah melahirkan banyak modal insan berkualiti dalam bidang-bidang tertentu, namun kita berharap ada usaha untuk menarik mereka pulang setelah menimba ilmu dan pengalaman di negara luar.

Kita yakin TalentCorp Malaysia dapat melakukan sesuatu bagi memastikan mereka yang berhijrah ini pulang semula ke tanah air. Pastikan pangkalan data modal insan ini dilengkapi bagi menjejaki mereka kembali.

Dalam suasana dunia tanpa sempadan dan arus pesat globalisasi, fenomena curi bakat ini tidak boleh dielakkan.

AWANG - Setia dengan Utusan.