Mulai 1 Januari lalu, hanya logo halal Jakim boleh digunakan pakai dan diiktiraf di negara kita. Maknanya, logo halal lain, tidak lagi boleh digunakan.

Sewajarnya pengusaha premis makanan dan pengeluar makanan perlu sensitif apabila menggunakan logo halal kerana soal halal haram adalah antara keutamaan bagi pengguna Islam, yang jumlahnya besar di negara kita.

Bagi Awang, penggunaan logo halal selain daripada yang dikeluarkan oleh Jakim bagi produk atau premis makanan di negara ini, adalah satu bentuk penipuan kepada pengguna Islam.

Justeru tindakan tegas perlu dikenakan ke atas mereka yang terbabit. Soal penguatkuasaan amat perlu dalam membanteras amalan yang boleh menjejaskan peraturan agama Islam ini.

Soal keprihatinan oleh penggunaan Islam sendiri boleh memastikan amalan baik digunakan dalam penggunaan logo halal ini. Selaku pengguna, mereka perlu sensitif dalam membuat pilihan yang tidak meragukan status halalnya.

Awang yakin kombinasi penguatkuasaan peraturan ini dengan ke-

prihatinan pengguna Islam sendiri ketika memilih barangan dan premis makanan, akan lebih mudah memastikan penggunaan logo halal yang betul.

Dalam hal ini, pihak pengusaha dan pengeluar terutama yang bukan Islam juga perlu dididik supaya mereka memahami isu hala haram ini.

AWANG – Pilih yang halal.