Kalau kita masih ingat GST menjadi salah satu ‘peluru ampuh’ yang memungkinkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Sistem cukai itu diuar-uarkan sebagai punca rakyat hidup menderita akibat kenaikan kos sara hidup.

Oleh itu, apabila kerajaan melaksanakan semula SST sudah tentulah rakyat mengharapkan ia akan lebih baik daripada GST. Awang tidak pasti sejauh mana ia akan berjaya terutama dari segi menurunkan harga barangan.

Tetapi kerajaan perlu diberi ruang untuk membuktikan SST adalah sistem percukaian terbaik, biar pun tiada jaminan diberikan oleh beberapa menteri ia akan mampu menurunkan kos sara hidup rakyat.

Namun bagi Awang, apa yang penting ialah penguatkuasaan terutamanya melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Kewangan. Merekalah yang akan memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan serta tiada mana-mana pihak cuba mengelak daripada membayar cukai. Jika itu berjaya dilaksanakan sudah tentu pemansuhan GST dianggap tepat dan bukannya akibat mainan politik.


 AWANG – Sentiasa bayar cukai.