Persoalannya, apakah ukuran dan penilaian dibuat kerajaan membenarkan sekolah-sekolah itu dibuka? Apakah Pasir Gudang benar-benar selamat untuk dihuni atau sudah sewajarnya darurat diisytiharkan?

Awang serah kepada pihak berkuasa memikirkannya tetapi apa yang pasti situasi di Pasir Gudang semakin serius. Memberi kenyataan kualiti udara stabil dan akan menangani pencemaran udara di situ sebaik mungkin termasuk mengambil kira kepentingan ekonomi serta keselamatan penduduk tidak akan menyelesaikan masalah.

Kerajaan perlu tegas disertai tindakan drastik dan komprehensif untuk tentukan Pasir Gudang masih selamat atau tidak? Soal ekonomi sepatutnya menjadi soal kedua, yang penting nyawa manusia.

Mungkin setakat ini belum ada korban tetapi kenyataan beberapa pakar mengesahkan pencemaran berlaku dan boleh beri kesan jangka panjang termasuk kanser. Awang berharap, kerajaan memahami situasi ini dan bukan membuat kenyataan yang dilihat untuk ‘sedapkan hati’, atau mungkin menimbulkan persoalan apakah ia sudah di luar kawalan.

AWANG - Kecewa.