Untuk rekod, Malaysia adalah sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong telah mencatat sejarah dalam amalan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Ini kerana pemilihan Seri Paduka diputuskan hanya dalam tempoh kurang seminggu selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lepas.

Sebagai raja yang disifatkan cukup akrab dengan rakyat, Awang yakin Sultan Abdullah akan mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Utama Negara dengan berkesan.

Sesungguhnya pelantikan Seri Paduka akan memperkukuh institusi Yang di-Pertuan Agong serta institusi beraja di negara ini melalui peranan Seri Paduka seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu Awang juga yakin Sultan Nazrin akan mampu melaksanakan tugas sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti mana telah dibuktikan oleh baginda sebelum ini. Sesungguhnya seluruh rakyat jelata berasa bangga dan gembira dengan pelantikan Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin.

AWANG - Daulat Tuanku