Ketua Pesuruhjaya SPRM, LATHEEFA KOYA yang ketika bergiat aktif dalam politik sering bersikap kritikal terhadap badan itu tetapi kini mempunyai persepsi berbeza berbanding sebelum pelantikannya berkuat kuasa 1 Jun lalu.

“Kami boleh sahaja terus tangkap beratus-ratus orang untuk naikkan KPI. Tetapi kalau kami tak selamatkan atau perbetulkan sistem itu, maknanya kita masih dalam tahap tidak mencegahlah.

“Saya juga tidak fikir orang ramai muak dengan isu-isu rasuah. Malah, kelihatannya tidak sabar-sabar pula untuk lihat bilalah suspek rasuah akan disumbat ke dalam penjara. Namun bagi SPRM, suspek perlu melalui proses perbicaraan dahulu.

“Biar dia ambil lawyer untuk fight (kesnya)...kita harus melalui rule of law,” jelas beliau dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, MAISARAH SHEIKH RAHIM, NIZAM YATIM dan MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK serta jurugambar, ZULFAIZ ZAKARIA di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, kelmarin.

Wawancara berjalan hampir dua jam dalam suasana santai dan Latheefa turut meluangkan masa melayan ‘sesi’ berswafoto dengan kami.

TARIKH 4 Ogos lalu menandakan genap dua bulan saya menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM. Sejak masuk sahaja saya telah mula dengan tugas-tugas dan telah diberi taklimat dan pembentangan berkenaan struktur dan organisasi.

Saya dalam proses memahami dan mempelajari dalam keadaan yang agak drastik jugalah sebab saya terpaksa menghadam dengan lebih laju. Pada masa sama saya juga terpaksa menyelia beberapa operasi dan sebagainya. Dan Alhamdulillah, perjalanan pembelajaran saya dan untuk menyesuaikan diri sebagai Ketua Pesuruhjaya agak lancarlah, tetapi masih berterusan.

PENDAKWAAN TERPILIH?

Saya tidak pasti siapa yang mencipta perkataan itu sebab dalam bahasa Inggeris pun mereka menggunakan istilah big fish, small fish dan sebagainya. Tetapi kita tidak kisah ikan besar atau kecil, kita akan ambil tindakan jika mendapati ada bukti dan keterangan yang membolehkan kita buka siasatan, kita akan teruskan.

Jadi tiada isu dari segi memilih-milih. Tidak akan ada tindakan pendakwaan terpilih, tetapi pada masa yang sama kami akan beri keutamaan kepada kes-kes yang dikatakan mempunyai kepentingan awam. Maksud kepentingan awam itu ada banyak definisi. Dalam erti kata maksud SPRM, kepentingan awam melibatkan salah laku yang memberi impak terhadap alam sekitar, dana awam yang besar dan sebagainya.

Contohnya macam pembalakan, perlombongan, pencemaran, ini adalah isu-isu yang melibatkan kepentingan awam ataupun dari segi saiz kewangan dan dana yang dimaksudkan, itu adalah juga melibatkan kepentingan awam. Dan juga kita melihat kepentingan awam dari segi pelaku rasuah tersebut.

Itu adalah keutamaan bagi SPRM tetapi pada masa sama kami juga melihat kepada kes-kes yang berterusan tetapi cara kita mengendalikan kes kali ini bukan setakat hanya hendak tangkap. Katalah penguat kuasa seperti anggota polis mengambil rasuah RM100, RM200 dan sebagainya. Sebab itu adalah masalah sistem. Jika ada peluang untuk melakukan rasuah, elemen yang memberi peluang itu harus diperbetulkan. Jika tidak, selalu akan ada (rasuah), sebab sistem itu membenarkan rasuah-rasuah kecil seperti melibatkan pegawai polis, kastam dan sebagainya.

PELANTIKAN POLITIK?

Itu terpulang kepada orang yang baca beritalah sebab bagi saya kalau saya menerima jawatan ini, ia datang sebagai pakej. Kritikan, tohmahan itu saya patut jangka. Bagi saya tak ada masalah.

Isu sama ada lantikan politik atau tidak, ia memang persepsi yang mungkin dimainkan dalam media sosial dan sebagainya. Selagi tidak ada satu asas untuk memberitahu tohmahan itu, bagi saya terpulang kepada siapa nak bincang isu itu. Akhirnya (yang penting adalah) persepsi rakyat kepada sama ada saya boleh lakukan tugas atau tidak.

ELAK SPRM DIEKSPLOITASI

Kita patut lihat juga adakah aduan-aduan yang diberi oleh orang ramai itu sememangnya rasuah ataupun hanya dari segi untuk memainkan persepsi? Kadang-kadang SPRM boleh digunakan untuk memperlihatkan seolah-olah ada fitnah ataupun tohmahan kepada orang-orang tertentu. Ia akan boleh disalahgunakan, boleh dieksploitasikan.

Sebab itu kami telah mengambil satu pendekatan sekiranya kes-kes yang mana orang itu belum dituduh lagi, kita tidak boleh memainkan isu itu dan soal operasi kita tidak boleh berkongsi. Mungkin sebab itu, saya tak tahulah sama ada pihak media melihat ada perbezaan daripada pendekatan kami, kami akan hanya mengesahkan jika ada fakta, contohnya kalau ada tangkapan, kami akan mengesahkan tangkapan tersebut.

Kalau ada tohmahan kami akan hanya maklumkan selepas siasatan dan sedia untuk didakwa. Jika kami beritahu awal, ia akan menjadi satu asas untuk memfitnah, jadi kami sangat berhati-hati. Sebelum ini mungkin ada kebocoran dan sebagainya dan kadang-kadang ia boleh disalahgunakan. Bukan semua, tetapi ada potensi untuk disalahgunakan. Sebab itu kami sangat berhati-hati.

BOLEH LAYANKAH SURAT LAYANG?

Ya boleh diterima tetapi perlu ada asas. Kita tak mengatakan orang yang tandatangan surat itu mesti beri butir-butir terperinci nama dia semua, tidak semestinya. Tetapi kalau surat layang itu mempunyai kandungan tohmahan dan sebagainya, kami perlu mengesahkannya.

Tak bolehlah surat layang yang terlalu umum, tak ada apa-apa. Kita tidak boleh buka satu kertas siasatan jika surat layang hanya memberi nama dan suruh siasat. Itu tidak boleh.

Jadi kalau ada butir-butir terperinci dalam surat layang, cuma (sebut) orangnya John Doe, kita masih akan membuat perisikan dan siasatan untuk mengesahkan betul atau tidak. Jadi kita memang ada buat tindakan seperti itu.

KERENAH BIROKRASI KEMENTERIAN PENDIDIKAN

Pihak kami sedang mengesah tarikh untuk mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pendidikan (Dr. Maszlee Malik). Dalam kategori pencegahan rasuah, antara sasaran kami adalah di peringkat sekolah dan universiti untuk diwujudkan modul atau silibus bagi menerapkan nilai murni yang menolak rasuah.

Pihak kami sudahpun ada modul itu dan Kementerian Pendidikan perlu mengambil modul ini untuk dijadikan sama ada buku teks ataupun dimasukkan dalam mata pelajaran yang sesuai.

Terdapat sedikit kekangan untuk memasukkan modul ini kerana dalam kementerian itu terdapat terlalu banyak birokrasi. Perlu ada jawatankuasa untuk melihat kepada buku teks, perlu ada (syarikat) percetakan, perlu ada kos dan terlalu banyak birokrasi menyebabkan apabila tiba masa semuanya telah disiapkan, modul itu mungkin telah ketinggalan zaman. Jadi kami nak berjumpa dengan Menteri Pendidikan bagi tujuan untuk memendekkan proses ini supaya kita cepat-cepat masukkan sama ada peringkat prasekolah, sekolah, institut dan maktab dan sebagainya.

SASAR AHLI POLITIK?

Bagi setiap penjawat awam, mereka wajib isytihar aset mereka juga. Perkara itu memang sudah ada peraturan. Jika tidak, kita patut ambil tindakan. Sekarang ini, kami lihat banyak ahli politik yang memberi arahan (kepada penjawat awam), sebab itu kita fokus kepada ahli politik. Tapi itu tidak bermakna pihak penjawat awam terlepas. Jika mereka sokong antara satu sama lain, itulah punca masalah sebenarnya. Mereka (penjawat awam) tidak boleh mengatakan ‘ikut arahan’, kamu kena ikut undang-undang bukan arahan. Kalau buat ikut arahan tetapi langgar peraturan dan undang-undang, itu bukan satu cara baik.

TARGET UNIVERSITI?

SPRM adalah pelaksana undang-undang. Sesiapa yang langgar undang-undang kita akan ambil tindakan tidak mengira kamu itu menteri ke, ahli parlimen, setiausaha politik atau pembangkang. Tiada sesiapa akan terlepas. Sebagai contoh, kalau kami lihat ada unsur rasuah dalam sektor tertentu kerana ada yang tidak kena dari segi prosesnya, kami akan bawa maklumat ini bagi tujuan untuk mengetatkan peraturan tersebut atau perlu mengeluarkan arahan yang baharu. Sebagai contoh kalau di peringkat universiti kami nampak ada trend bersiri ada pensyarah-pensyarah atau naib canselor yang mungkin memberi kontrak baju seragam dan sebagainya kepada ahli keluarga mereka, dan kami lihat ada yang tak betul, kita akan target kepada universiti-universiti untuk memastikan mereka tahu ini kesalahan yang jelas.

RASUAH PEGAWAI MUDA

Kita gagal menyerapkan nilai-nilai murni semasa mereka muda. Ada sesuatu yang hilang dalam modul atau silibus pendidikan. Satu kajian SPRM yang dilakukan pada tahun 2002 mendapati ada dalam kalangan belia atau pelajar yang berani mengatakan jika mereka tidak ditangkap, mereka sanggup lakukan rasuah. Malangnya, selepas kita tahu dapatan kajian tersebut, kita tak ambil maklum untuk dimasukkan perkara itu dalam pendidikan bagi menyekat unsur pemikiran tersebut. Sebab itu mungkin dalam kalangan pelajar (yang berfikiran sebegitu) kini sudah menjadi kakitangan sektor awam yang kita maksudkan (terlibat rasuah). Jadi kami mahu bertemu dengan Kementerian Pendidikan, kita perlu lakukan sesuatu dalam penerapan nilai-nilai murni, takkan nak duduk diam sahaja. Sepatutnya di peringkat sekolah rendah lagi dibangunkan satu karektor yang jijik terhadap rasuah.

SUMBANGAN ATAU RASUAH?

Bagi saya tidak ada istilah sumbangan. Kalau sumbangan itu kita derma kepada orang yang sepatutnya penerima sumbangan, itu tidak ada masalah. Perkataan ‘sumbangan’ itu adalah hanya perkataan cantik bagi rasuah. Sebab itu bila kerajaan baharu masuk, mereka telah memberi satu had RM500 ke bawah sahaja untuk penerimaan apa-apa hadiah sama ada berbentuk makanan atau sebagainya.

Bagaimanapun, dari segi budaya di Malaysia, semua perayaan melibatkan pemberian kewangan dan sebagainya. Tapi kalau kita nak sekat budaya pemberian ini, ia akan menjadi kejutan budaya. Jadi lebih baik kita buat peraturan berhubung perkara ini supaya memberikan sebab mengapa saya beri sumbangan itu. Begitu juga di peringkat PBT, seolah seperti amalan biasa untuk dapat tajaan bukan hanya semasa perayaan. Ini semua lubuk rasuah.

KUASA, DANA, PELUANG

Sebab itu setiap tajaan perlu dimaklumkan dan diisytiharkan kerana ketelusan adalah ciri utama mencegah rasuah. Setiap pemberian tender, kontrak dan sebagainya perlu dipaparkan secara online supaya mudah untuk dilihat semua. Tetapi proses ini belum lagi sampai tahap ini. Jadi kita mahu kerajaan melaksanakan proses ini. Kita kena faham tak kisahlah pembangkang atau kerajaan, akhirnya siapa ada kuasa, di situlah akan ada potensi untuk rasuah. Kuasa dana dan peluang. Ketiga-tiga elemen ini menyebabkan potensi rasuah. Kalau kita boleh mengeluarkan satu elemen ini, kita boleh mengurangkan rasuah.

SUMBANGAN POLITIK

Budaya ahli politik di Malaysia sangat berbeza dengan negara lain. Contohnya kalau orang kahwin, meninggal dunia, kenduri, semua kena hadiri dan bukan hadir dengan tangan kosong sahaja, semua kena bagi duit. Itu satu budaya yang sudah lama. Adakah amalan itu betul? Jadi kita perlu lihat semula kenapa ahli politik terpaksa pergi semua majlis seumpama ini untuk menjaga rakyat? Adakah ini cara dia menjadi popular? Dan inilah yang menjustifikasikan sumbangan. Tapi kalau sumbangan atau dana politik itu diuruskan bagi tujuan untuk membantu menjalankan tugas menguruskan peruntukan yang diberi, itu tidak ada isu. Namun kalau ada extra work dia pergi majlis-majlis rakyat itu dan kalau dia tak pergi akan dilabelkan sebagai wakil rakyat yang gagal. Inilah persepsi kita. Rakyat pun sama mengharapkan ahli politik memberikan duit kepada dia. Jadi, giving culture ini perlu ditukar.

ISYTIHAR HARTA

Kita tak akan siasat semata-mata kerana dia isytihar harta. Jangan salah faham. Seseorang yang mengisytihar harta bukan penyebab kepada kita nak siasat. Tetapi jika dia salah isytihar atau isytihar secara palsu, itu sendiri satu kesalahan jenayah. Keduanya, orang ramai yang melihat kepada pengisytiharan itu yang mendapati cara hidup dia tidak sama dengan harta yang diisytihar, terbang sana sini, tak tahu siapa taja dia, apa sebab dia ditaja, itu persoalan. Kalau ada orang yang membuat aduan, kita akan siasat. Pengisytiharan itu bukan untuk umum, tetapi hanya untuk SPRM. Kita bukan sahaja dedahkan mengenai aset tetapi liabiliti juga. Mungkin dia kata aset dia banyak tapi ada 20 orang tanggungan, itu mungkin boleh meneutralkan mengapa dia banyak duit.

Kes banglo ditutup?

Itu bukan (SPRM) tutup kes, tetapi kes tersebut sudah masuk mahkamah, jadi sudah tidak ada kaitan dengan SPRM. Ia sudah masuk peringkat pendakwaan mahkamah. Ia juga bukan bermaksud kes itu diberhentikan separuh jalan kerana laporan sudah siap. Tutup kes bermaksud sekiranya terdapat aduan dan kita siasat, bila separuh jalan kita tutup. Itu tidak pernah berlaku setakat ini.