Baru-baru ini seorang pelayan restoran, M. Selvam dilempang oleh pelanggan restoran di Seksyen 25, Shah Alam, Selangor. Teguran selaras undang-undang baharu larangan merokok di dalam premis makanan akhirnya mengundang padah.

Nasib baik sekadar lempang. Jika disertai sepak terajang, sudah jadi cerita lain. Ini sepatutnya menjadi senario paling buruk jika undang-undang tersebut dilaksanakan.

Walaupun diberitakan tindakan kompaun ditangguh selama enam bulan, namun larangan tetap diteruskan. Maka jika ada yang ingin menghisap rokok, perlu menyediakan tali rafia tiga meter dalam poket sebagai persediaan jika keinginan menghisap rokok ‘datang’ selepas makan di restoran.

Mengimbas kembali zaman remaja, perbuatan menghisap rokok sememangnya tiada dalam diari penulis. Boleh dikatakan 96 peratus kawan-kawan menghisap rokok. Walaupun menjadi perokok pasif, alhamdulillah masih dilindungi Allah SWT daripada sebarang penyakit yang berpunca daripada asap rokok.

Pada saat ini, jika benar pihak berkuasa hendak mengekang perokok daripada menghembuskan asap, sediakanlah prasarana seperti bilik khas seperti yang diwujudkan di sebelah gelanggang boling di serata negara.

Jika restoran mamak tidak mahu kehilangan pelanggan, binalah bilik kedap udara untuk perokok melepaskan gian mereka.

Semua orang tahu kebanyakan perokok pasti akan merokok sama ada selepas makan atau berbual dengan kawan-kawan. Jika tidak membakar tembakau bukanlah perokok namanya.

Ada perokok yang seakan hilang stres ketika merokok. Sambil menyandar di kerusi akan berkepul-kepullah keluar dengan formasi asap berbentuk O.

Kita harus empati dengan keinginan kelompok ini, bukannya bersifat menghukum sehingga tindakan fizikal berlaku. Banyak lagi perkara perlu dilakukan sebelum undang-undang ini diperkenalkan.

Pendidikan kepada perokok melalui kempen di media perdana dan sosial perlu dilakukan secara berterusan. Ingatkan mereka, bahaya merokok yang boleh menyebabkan kanser paru-paru dan kesihatan anak-anak mereka turut terkesan.

Iklan pencegahan tabiat merokok oleh pihak berkuasa negara jiran boleh dicontohi. Kisah seorang lelaki yang dibacakan surah Yasin setiap kali beliau cuba mengeluarkan rokok dari kotak.

Walaupun iklan tersebut seperti gurauan yang kasar, namun mesejnya jelas. Ia mahu memberi ingatan kepada kita untuk memberhentikan tabiat merokok yang boleh menjerumuskan diri mereka kepada penyakit - kesan daripada tindakan kimia dalam rokok terhadap sistem biologi manusia.

Pihak berkuasa juga boleh memberi ingatan kepada rakyat bahawa merokok telah difatwakan haram oleh pihak autoriti agama Islam secara konsisten bagi menggalakkan mereka berhenti merokok.

Sudah jelas tiada sekelumit faedah dalam perbuatan merokok. Hanya membakar wang tanpa sebab yang munasabah untuk meningkatkan kualiti hidup.

Justeru hentikan tabiat merokok kerana perbuatan tersebut mengundang mudarat kepada diri sendiri dan orang sekeliling. Bak gurauan perokok itu sendiri yang mengatakan hanya tiga orang boleh menghisap rokok mengikut proses merokok itu sendiri.

Yang pertama Bakar, kedua Abu dan ketiga Buang. Namun dalam konteks hari ini, seorang lagi boleh ditambah iaitu Saman. Itu pun jika kantoi merokok di premis yang dilarang.