Walau apapun yang diteorikan oleh pihak-pihak yang terbabit dengan membelakangkan undang-undang negara, isu undang-undang dan penguatkuasaannya terus dipersoalkan.

Undang-undang adalah cetusan kuasa kenegaraan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan dan pada amnya kebaikan sejagat manusia.

Negara yang ditadbir mengikut lunas undang-undang yang mengimbangi kuasa serta fungsi kehakiman, legislatif dan eksekutif dikatakan tergolong kepada negara rule of law atau negara yang tertakluk kepada kedaulatan undang-undang. Bahasalah yang menjadi penyampai maksud dan penentu kepada kuatkuasa sesuatu undang-undang itu. Jika kabur bahasanya maka kaburlah maksud dan erti peruntukan sesuatu undang-undang itu.

Justeru, para juri dan penggubal undang-undang sentiasa berhati-hati tentang bahasa yang digunakan dalam sesuatu undang-undang. Peguam pula sentiasa berkebolehan mem­pertikai sesuatu perkataan yang terkandung di dalam sesuatu peruntukan undang-undang itu.

Sifat tepat atau persis memang satu-satunya ciri undang-undang. Para hakim akan cuba memberi tafsiran atau definisi yang paling dekat dengan konsep keadilan dan yang diduga paling sesuai dengan maksud yang diperbuat Parlimen.

Dalam keadaan beginilah undang-undang negara termasuk Perlembagaan Persekutuan beroleh proses interpretasi dan penguatkuasaannya. Pihak-pihak yang tidak puas hati dengan maksud dan ketepatan sesuatu peruntukan itu lantas mencabarnya di mahkamah.

Pada masa sama, mereka yang tidak pedulikan keluhuran undang-undang lantas mencabar melalui gerombolan politik jalanan atau politik sorak-sorai. Ada pula yang berpendapat bahawa tindakan seperti itu membawa keseronokan kerana kononnya ‘kuasa rakyat’ sudah ada bersama mereka.

Bila ini berlaku bererti undang-undang negara sudah diketepikan. Mulalah didakwa bahawa undang-undang tertentu bersifat zalim sedangkan ia diperbuat oleh rakyat sendiri untuk ketenteraman awam.

Bila sudah begitu kerap pencabulan seperti itu berlaku dan dilakukan, undang-undang tidak bermakna lagi. Kacau-bilau berlaku kerana ketenteraman awam pada masa itu berada di luar kawalan pihak polis dan lain-lain agensi penguat kuasa.

Antara undang-undang dan penguatkuasaan sering berlaku pertikaian dan masalah pelaksanaan kerana an­tara undang-undang dan penguatkuasaan tidak selari.

Apakah akibatnya bila rakyat merasai bahawa kuat kuasa undang-undang itu sudah tidak dirasai lagi? Akan selamatkah mereka daripada keadaan yang kacau-bilau? Kenapakah hukuman tidak setimpal dengan kesalahan?

Bila undang-undang sudah berada di tahap ‘lebih kurang’ dari segi penguatkuasaan, sesebuah negara itu boleh dikatakan sudah berada dalam keadaan hubaya-hubaya sekalipun belum dalam keadaan bahaya.

Kerajaan yang dipilih rakyat dalam bahaya dan rakyatnya juga dalam bahaya. Bahaya kerana segolongan rakyatnya sudah mengambil tindakan undang-undang sendirian.

Kita tidak perlu menjenguk jauh untuk belajar daripada keruntuhan bila penguatkuasaan undang-undang sudah tidak lagi diutamakan. Jiran Malaysia yang tegas ada- mereka berjaya. Jiran Malaysia yang ‘lebih kurang dan bisa diatur’ juga ada - mereka sedang dilanda sengketa yang sebahagian besarnya berpunca daripada tumbangnya undang-undang akibat kelemahan penguatkuasaan.

Malaysia jika hendak selamat di musim mencabar ini mesti meneladani mereka yang tegas dan menghormati undang-undang. Jangan kita sampai seperti ke tahap yang dikatakan perbilangan silam bak kata pakar perlembagaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim: “Berundang-undang mahir, bila bicara kalah.”