Bagaimanapun, andainya semasa transaksi itu dijalankan terdapat beberapa perkara seperti penipuan (fraud), salah nyata (misrepresentation), pemalsuan (forgery), suratcara yang tidak lengkap atau batal (insufficient or void instrument), atau pemerolehan secara tidak sah (unlawfully acquired), transaksi itu masih boleh dipersoal di mahkamah - seksyen 340(2). Andainya setelah mahkamah mendengar keterangan lebih lanjut mengenai perkara-perkara tersebut, mahkamah puas hati ia wujud, mahkamah boleh isytiharkan transaksi tersebut tidak sah dan oleh itu hakmilik atau kepentingan yang diperoleh secara tidak betul itu adalah tidak sah dan batal.

Minggu lalu, media tempatan melaporkan dakwaan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bahawa 12 bidang tanah dalam kawasan bandar raya Kuala Lumpur telah dipindah milik kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), se­buah badan di Kementerian Wilayah Persekutuan, untuk kemudian dijual olehnya kepada pihak lain untuk mendapatkan keuntungan segera.

Laporan itu menyatakan Lip Eng telah mendapat satu senarai lengkap dari Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur yang me­nunjukkan transaksi yang mencurigakan melibatkan 12 bidang tanah (kesemuanya seluas 30.2 ekar) telah berlaku tanpa tender terbuka. Beliau seterusnya mendakwa terdapat tujuh lagi bidang tanah lain yang juga dipindah milik kepada YWP, walaupun matlamat badan yayasan itu diwujudkan bukan untuk menjalankan perniagaan membangunkan tanah. Ahli Parlimen Kepong itu membuat kesimpulan bahawa segala aktiviti ini dilakukan untuk membolehkan yayasan itu mendapatkan dana besar. Soalnya, selepas yayasan itu memperoleh keuntungan yang besar itu, ke manakah perginya wang tersebut?

Lip Eng menambah bahawa dia akan melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar badan itu boleh menjalankan siasatan lanjut. Sementara siasatan dijalankan, beliau berharap pihak berkenaan akan memasukkan satu kaveat ke atas semua tanah berkenaan untuk menghalang transaksi lain dilaksanakan di masa depan.

Transaksi yang dikatakan mencurigakan ini khabarnya berlaku hampir 10 tahun lalu, iaitu mulai Januari 2009 sehinggalah Jun 2018 lalu. Sebelum ini, Lip Eng dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh telah membuat aduan rasmi kepada SPRM berhubung 64 bidang tanah (berjumlah 171 hektar) yang dijual oleh DBKL kepada YWP dengan harga RM4.28 bilion antara 2013 hingga tahun ini.

Pada 13 Jun lalu, Ketua Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun dipetik oleh Bernama sebagai berkata yayasan hanya memiliki satu bidang tanah seluas 1.044 hektar Sri Petaling, yang dibeli dari DBKL pada 2013. Daripada 64 lot ta­nah yang disebutkan Lip Eng itu, yayasan hanya beli satu bidang sahaja dengan harga RM30 juta. Selebihnya bukan tanah yayasan, tegasnya lagi.

Antara kebaikan utama sistem Torrens adalah bahawa sesiapa sahaja yang namanya didaftarkan dalam suratan hakmilik tanah itu menikmati security of tenure (ke­selamatan pemegangan tanah).

Elemen keselamatan pemegangan tanah ini amat penting sekali kerana ia boleh meyakinkan pelabur asing datang ke negara kita untuk mengembangkan perniagaan dan perusahaan mereka. Mereka boleh mendirikan kilang atas tanah yang mereka beli atau pajak dari pemilik asalnya dengan penuh yakin bahawa hakmilik atau kepentingan mereka pada tanah itu selamat dan terjamin, tidak boleh dicuri atau diambil oleh pihak lain.

Andainya timbul persoalan sama ada seseorang itu pemilik tanah yang sebenar atau pun sebaliknya, apa yang orang itu perlu buat adalah tunjukkan sahaja namanya yang sudah pun didaftarkan dalam suratan hakmilik tanah itu. Di bawah sistem Torrens, prinsip yang dipakai adalah “Daftar adalah segala-segalanya” (“The register is everything”). Apa yang pemilik tanah perlu buat untuk membuktikan hakmiliknya adalah dengan hanya mengemukakan suratan hakmilik ber­kenaan. Andainya ada pihak lain yang mempersoalnya, maka beban bukti adalah pada orang yang membangkitkan isu tersebut.

Ini bermakna andainya ada pihak yang terus mendakwa bahawa YWP tidak memperoleh dan memiliki bidang-bidang ta­nahnya sekarang secara sah, maka beban bukti terletak kepada pihak yang membuat dakwaan tersebut. Di sini pihak tersebut berdepan dengan prinsip indefeasibility di bawah seksyen 340(1) KTN dan sama ada dia akan berjaya membuktikan dakwaannya itu atau tidak bergantung kepada kemampuannya membuktikan wujud hal keadaan seperti yang disebutkan dalam seksyen 340(2) KTN itu.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.