Tetapi bukan pasal Sepahtu atau Bocey yang akak cun hendak cakap. Akak cun hendak cerita pasal orang lelaki yang kuat melawak. Memang tidak dapat dinafikan ramai orang perempuan suka lelaki yang pandai dan gemar buat lawak. Kalau lelaki ada ciri-ciri ini, beruntunglah. Andalah lelaki idaman ramai wanita di muka bumi ini.

Sebabnya, orang lelaki yang 24 jam serius ini, selalunya dimasukkan dalam senarai top 10 ‘orang yang paling bo­ring’ oleh orang perempuan yang perlu dielakkan untuk duduk semeja bersembang. Yalah, asyik serius saja, susah hendak tengok dia ketawa, atau dia ketawa bila tak ada yang kelakar pun, tentulah macam terasa ‘tinggi’ sangat pemikiran lelaki jenis ini atau pelik!

Pun begitu, melawak pun perlu tengok tempat dan keadaan. Janganlah buat kelakar pada waktu-waktu yang tidak sesuai. Kadang-kadang bila orang perempuan te­ngah marah atau serius, kau orang buat ‘lawak bodoh’ pula. Kesannya boleh memburukkan lagi keadaan. Kalau tak percaya, cubalah.

Orang lelaki ini pun satu, kadang-kadang masa kita sedang serius membincangkan sesuatu isu, dia mulalah buat ‘selingan’ atau tiba-tiba tukar topik. Tak bagi apa-apa signal.

Kita ini belum habis cakap, dia sudah masuk cerita merapu meraban yang tak ada kena mengena dengan topik yang sedang beria-ia dibincangkan. Entah itu taktik dia hendak mengelak atau hendak menghiburkan. Tak tahulah. Kalau motifnya mahu menghiburkan, memang tak terhibur langsung. Silap-silap boleh gaduh besar.

Perasan tak? Ada juga orang lelaki yang suka buat lawak, tetapi lawak itu telah diulang banyak kali. Sudah basi, senang cerita. Tetapi dia menganggap cerita kelakar itu evergreen. Maka setiap kali berjumpa, cerita yang sama diulang dan terpaksalah kita menadah saja telinga untuk mendengarnya dan bila kena ‘mood’ tak baik pada hari tersebut, memang sajalah cari ‘penyakit’.

Ada juga lelaki yang asyik hendak melawak saja. Bila cakap sedikit, ketawa. Cakap sedikit gelak. Muka dah ok, hensem tetapi bila berborak dengannya tak pernah hendak bercakap serius. Kategori macam ini sebenarnya membuatkan orang perempuan naik risau dan cepat bosan.

Akak cun pernahlah mengalami situasi sebegini. Ba­nyak kali. Walaupun akak cun suka orang yang kelakar dan akak cun sendiri suka melawak, tetapi bila berborak dengan lelaki yang tidak serius dan asyik hendak ketawa tak tahu hujung pangkal ini, otak akak cun pun boleh jadi jammed.

Pernah berlaku, akak cun cerita pasal isu macam mana lelaki berusia 41 tahun, boleh pula kahwin nombor tiga, budak 11 tahun, tetapi dia pula cerita pasal ketika dia ber­umur 11 tahun dulu, darjah lima, dia sudah pandai me­ngurat cikgu sekolah. Lepas itu, dia ketawa dan ketawa. Tak ada lawak apa pun. Agaknya, dia tak nak dengar akak cun mengutuk orang lelaki kahwin dengan budak-budak, dia pun mulalah sembang ke laut!

Pun begitu, ada lelaki yang walaupun dia jenis tidak serius, asyik ketawa tetapi ada yang tidak boleh menerima lawak orang lain. Dia saja boleh buat lawak atau bergurau. Orang lain tidak boleh. Kadang-kadang dialah yang paling cepat emosional atau sentap tak tentu pasal.

Beberapa hari lalu, akak cun rasa akak cun tak buat lawak pun. Akak cun telah menghantar mesej melalui WhatsApp kepada seorang kawan lelaki, penyokong tegar England sejurus sahaja pasukan itu tak dapat masuk final sebab kalah dengan Croatia. Akak cun kata, England dapat masuk semi final pun nasib saja, sebab jumpa dengan pasukan yang tak berapa kuat, terus dia marah akak cun dan cakap akak cun sengal!

Akak cun rasa, orang lelaki ini, janganlah kutuk atau bahan dia pasal bola, cepat benar dia naik angin. Tak percaya, cubalah. Silap-silap dia boleh removed kita dari akaun media sosial terutamanya peminat-peminat Manchester United! Janganlah kutuk-kutuk. Dia kutuk penyokong Liverpool atau Arsenal, tak apa pula.

Dan betulkah, menurut pakar psikologi, Richard Wiseman dalam bukunya Quirkology, menyatakan bahawa dalam satu kajian menunjukkan bahawa 71 peratus wa­nita akan ketawa apabila seorang lelaki membuat kelakar tetapi hanya 39 peratus lelaki sahaja yang akan ketawa bila orang perempuan membuat jenaka?

Bagi akak cun, yang ketawa apabila seseorang membuat lawak terbahagi kepada dua sebab, pertama sebab cerita itu betul-betul lawak dan keduanya, terpaksa gelak walaupun tak kelakar untuk menjaga hati. Yalah, orang perempuan ini memang suka jaga hati orang, walaupun hatinya bukannya dijaga sangat oleh orang lelaki.