IDRIS HARON
IDRIS HARON

Tetapi apabila Melaka diiktiraf sebagai negeri yang menyediakan rumah paling mampu dimiliki, pada masa sama kerajaan negeri Pulau Pinang pula didakwa tidak berminat menyediakan rumah untuk bumiputera.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, sejak 2009, Pulau Pinang tidak pernah membina sebarang rumah bagi menggantikan kuota perumahan bumiputera yang dilepaskan.

Zainal Abidin berkata, jumlah unit rumah mampu milik yang telah siap dibina, sedang dalam pelaksanaan dan perancangan untuk dibina di Pulau Pinang oleh Kerajaan Persekutuan melalui agensi dan jabatannya bagi tempoh 2008 hingga 2018 adalah sebanyak 56,569 unit sahaja.

Hal ini berbeza dengan Melaka yang diiktiraf sebagai negeri menyediakan rumah paling mampu dimiliki di Malaysia berdasarkan laporan terkini dikeluarkan oleh The Edge Markets pada Oktober lalu.

Menurut laporan itu, Melaka menyediakan rumah pa­ling mampu dimiliki dengan indeks 2.43 (nisbah median harga rumah kepada pendapatan median tahunan isi rumah) dan rumah yang paling tidak mampu dimiliki adalah berada di Kuala Lumpur dengan indeks 6.88 dan Pulau Pinang pada tahap 6.32.

Dengan laporan Making Housing Affordable oleh Kha­zanah Research Institut (KRI) pada 2015 dan laporan Bank Negara Malaysia pada 2016 di bawah tajuk Demystifying The Affordable Housing Issue In Malaysia, nisbah median harga rumah dengan median pendapatan penduduk di Melaka adalah di bawah indeks 3.0 iaitu pada tahap 2.98.

Ini menunjukkan daya usaha berterusan dan komitmen kerajaan negeri Melaka untuk menyediakan kemudahan perumahan mencukupi dan mampu milik telah menampakkan kesan positif.

Di samping itu, kerjasama awam-swasta antara Lembaga Perumahan Melaka dan pemaju perumahan Wawasan Intact Properties Sdn. Bhd. juga telah mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records yang mana 277 unit rumah mampu milik berjaya disiapkan dalam tempoh lapan bulan di negeri itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, bagi mengekalkan daya saing pembinaan rumah mampu milik, kerajaan negeri telah menetapkan dasar pembinaan jenis rumah berkenaan sejak 2014 iaitu untuk projek perumahan melebihi 3.2 hektar, pemaju diwajibkan membinanya sebanyak 40 peratus di dalam projek pembangunan berkenaan. Harga rumah mampu milik pula ditetapkan tidak melebihi RM180,000 seunit dengan ke­luasan minimum 92.9 meter persegi, mempunyai tiga bilik tidur serta dua bilik air.

“Sehingga ini, pencapaian Melaka dalam sektor pembangunan perumahan sangat membanggakan. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa peratus pemilikan rumah di Melaka adalah 84.4 peratus. Kadar pemilikan di Melaka adalah lebih tinggi daripada kadar pemilikan peringkat nasional pada kadar 76.1 peratus sahaja,” kata Idris.

Menurut Idris, sejak 2013 hingga 30 November 2017, melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri telah dan sedang membangunkan sejumlah 62,821 unit rumah mampu milik di seluruh negeri ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30,534 unit rumah mampu milik dibangunkan oleh jabatan dan agensi kerajaan negeri manakala 32,287 unit lagi dibangunkan oleh jabatan dan agensi kerajaan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,174 unit rumah mampu milik telah siap dibina dan diduduki manakala 24,421 unit dalam pembinaan dan 28,226 unit telah mendapat kelulusan dan akan dimulakan pembinaan dalam masa terdekat,” kata Idris.