Dengan parti saingan kini memfokuskan kepada kawasan separa bandar dengan tidak pula meninggalkan kubu-kubu kuat mereka di bandar telah menjadikan persaing­an menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kian getir dan mendebarkan. Justeru, amat pen­ting bagi mana-mana parti politik untuk merencana strategi jangka panjang mendominasi kawasan bandar dan pinggir bandar.

Dalam konteks suasana semasa, kaum Cina mendominasi majoriti pengundi bandar. Kebanyakan mereka diandaikan mempunyai kehidupan lebih maju berban­ding orang Melayu dan India. Dari pers­pektif observational analysis, suasana politik bandar berkait rapat dengan ideologi mewah iaitu perwatakan menunjuk-nunjuk kemewahan masing-masing.

Dalam hal ini, golongan perte­ngahan dan bawahan di bandar terdedah kepada ideologi tersebut yang secara tidak langsung mencorak pemikiran politik yang lebih bersifat ‘mengikut’ dan cenderung kepada propaganda politik media sosial yang didukung golongan mewah.

Budaya mengejar kebendaan ini selari dengan pemikiran politik yang kebanyakannya mencorak ‘arah condong’ pengundi golong­an pertengahan dan bawahan yang menetap di bandar. Golongan ini mudah dialih kecenderungan politik mereka apabila politik kebendaan dijadikan umpan meraih sokongan.

Kajian terkini oleh Institut Kajian Dasar dan Strategik Cintanusa dengan kerjasama Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) mendapati sokongan pengundi di kawasan bandar terhadap Barisan Nasional (BN) masih perlu diperbaiki menjelang PRU-14.

Menurut Pengerusi GAUM, Zulkarnain Mahdar, masalah utama membelenggu kebanyakan peng­undi di kawasan bandar disebabkan oleh ketidakpercayaan terhadap kepimpinan kerajaan yang berpunca daripada penilaian persepsi semata-mata.

Pembangkang diakui licik me­nerapkan ke dalam minda pengundi bandar dengan persepsi negatif melalui media sosial dan portal be­rita tajaan mereka.

Berdasarkan analisis politik bandar oleh Profesor Dr. Fuad Mat Jali dan Dr. Junaidi Awang Besar (2014), seperkara yang menarik dalam PRU-13 ialah keupayaan pembangkang dianggotai PKR, DAP dan Pas menguasai 12 daripada 14 kerusi Parlimen di kawasan ibu nege­ri ke­cuali Johor Bahru dan Kangar.

Bagi kerusi Parlimen Selangor pula, pembangkang mendominasi kawasan bandar dan pinggir bandar - Petaling Jaya, Serdang, Ampang, Puchong, Kelana Jaya, Gombak, Subang, Shah Alam, Kapar, Klang dan Kota Raja. BN menang di kawasan luar bandar iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Isu-isu prapilihan raya yang dikenal pasti terdiri daripada isu nasional yang banyak diperkatakan. Antaranya, isu kenaikan harga barang, pelaksanaan GST, kritikan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kebebasan bersuara. Tidak keterlaluan diandaikan inilah antara isu yang akan dimainkan pembangkang di bandar-bandar besar nanti.

Kajian empirikal diketuai pakar bidang komunikasi, Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid (2016) pula, mendapati netizen lebih mempercayai saluran media sosial berban­ding media konvensional. Penemuan yang merujuk impak PRU-13 itu menunjukkan pengaruh televisyen menurun daripada 42 peratus pada 2015 kepada 39 peratus (2016).

Begitu juga bagi pembacaan akhbar menurun daripada 30 peratus kepada 25 peratus dan radio daripada 25 peratus pada 2015 ke 21 peratus (2016). Bagaimanapun kepercayaan terhadap internet meningkat daripada 50 peratus pada Disember 2015 menjadi 69 peratus (Ogos 2016). Hakikatnya, media sosial suatu fenomena bandar yang sangat pesat berkembang.

Pengaruh identifikasi parti terhadap pengundi bandar semakin menurun dan prestasi kerajaan dan pemimpin parti semakin merosot khususnya sebelum PRU 2008 lagi. Sokongan pengundi bandar terhadap parti tertentu berkait rapat dengan pengaruh sumber maklumat politik mereka yang lebih luas dan telus iaitu melalui penggunaan media alternatif/internet. Mereka kritikal terhadap isu-isu utama negara dan masalah kehidupan hari­an di bandar seperti harga barang, sewa rumah dan kedai yang terlalu mahal, pengangkutan awam yang belum efisien, kurangnya pusat penjagaan kanak-kanak berdekatan tempat kerja dan isu-isu lain.

Pengundi di bandar juga inginkan kebebasan bersuara serta berpolitik. Mereka bebas mengakses maklumat politik melalui media baru/internet. Senario politik bandar di negara ini yang didominasi golongan elit dan pertengahan adalah dinamik dan terbuka serta kritis kerana sumber maklumat politik mereka (media baru/alternatif iaitu internet; laman sosial seperti Facebook dan Twitter; laman sesawang; dan blog) yang meluas dan menyeluruh.

Ini ‘diperkuatkan’ lagi dengan tsunami politik bandar oleh majoriti pengundi Cina pada PRU 2013 sehingga majoritinya terutama golongan muda dan profesional menyokong pakatan pembangkang.

Badrul Azmier (2008) mendapati dominasi parti politik oleh BN berkait rapat dengan amalan politik perkauman, permuafakatan, pe­cah dan perintah, pengawalan dan pembangunan. Di peringkat permulaan, strategi ini berjaya kerana politik ketika itu lebih kepada politik penyatuan Tanah Melayu bagi menentang penjajahan Inggeris yang mahu Tanah Melayu mengikut acuan dan kepentingan mereka.

Justeru, kajian dan analisis dari aspek fenomena perlu dilakukan. Ini kerana ia berkait rapat dengan perkembangan serta penggunaan media sosial dalam penyampaian maklumat yang pantas bagi mengha­dapi PRU-14. Penyampaian maklumat pantas adalah kaedah attacking subliminal pengundi di saat akhir pengundian.

Tumpuan harus diberikan kepada golongan muda di bandar. Kaji selidik oleh The Asia Foundation bertajuk The Youth Factor 2012 Survey of Malaysian Youth Opinion menunjukkan kebanyakan orang muda lebih terbuka untuk memilih parti politik yang mewakili kepentingan awam dan bukannya berdasarkan kepentingan sesuatu kaum dan agama (71 peratus). Ini berbanding hanya 14 peratus yang memilih parti politik yang berteraskan agama dan yang berteraskan kaum tertentu (11 peratus).

Pada masa sama, parti yang mahu bersaing harus merangka strategi komprehensif dengan tumpuan kepada imej identiti, penjenamaan dan produk calon de­ngan berfokuskan golongan muda di bandar.

Kesan ‘urban tsunami’ yang melanda pilihan raya umum lalu menjadikan BN ketinggalan sebagai sebuah jaringan kuasa politik ‘ala kampungan’. Dikhuatiri parti terpaksa bergantung kepada undi golongan tertentu untuk memenangi kerusi (bagi calon-calon parti komponen BN bukan Me­layu).

Jika BN mahu mengekalkan penguasaan politiknya, mereka perlu melakukan sesuatu yang luar biasa. Bukan lampu Aladin dengan ‘jin yang siap sedia diarah’. Tetapi melalui daya juang kerja keras jentera pilihan raya­nya dengan mempraktikkan formula luar kotak.

Tsunami politik bandar yang memihak pembangkang diyakini dapat dikekang. Ini termasuk dengan menambah baik ‘harapan demokrasi’ bagi mengembalikan kepercayaan pengundi bandar kepada BN.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah Penganalisis Politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia.