LIM KIT SIANG

Paparan 10 siri oleh wartawan Utusan Malaysia, ZULKI FLI JALIL menyorot gelagat dan percaturan DAP melalui Kit Siang dan Guan Eng dalam kemelut politik yang lepas dan semasa negara.

KALAU bercakap mengenai Penasihat DAP, Lim Kit Siang, ada pihak gemar buat perbandingan begini:

“Kim II-sung adalah pemimpin tertinggi Korea Utara selama 46 tahun. Robert Mugabe telah mendominasi politik Zimbabwe selama 37 tahun.

Ferdinand Marcos digulingkan setelah 31 tahun. Suharto selama 30 tahun. Joseph Stalin memerintah Rusia selama 30 tahun. Saddam Hussein mengetuai Parti Ba’ath beliau selama 30 tahun. François Duvalier adalah pe­mimpin negara itu selama 14 tahun.

“Idi Amin masih berkuasa selama lapan tahun. Kit Siang enggan melepaskan selepas 51 tahun dan masih berada dalam parti untuk meraikan ulang tahun ke-60 mengetuai DAP.”

Demokratikkah DAP? Ada me­nggelarkan penguasaan Kit Siang anak beranaknya dalam DAP sebagai ‘Dinasti Lim’. Kalau diperhatikan musuh ketatnya, UMNO - tonggak Barisan Nasional (BN) - itupun sudah bersilih ganti de­ngan kini Presidennya yang ke-7, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dikatakan cengkaman ‘dinasti’ ini dalam demokrasi DAP dikaitkan dengan pemilihan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada 2012 yang sehingga hari ini Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih belum mengiktirafnya.

Yang terbaharu kemelut yang dikaitkan rasa tidak puas hati terhadap ‘Dinasti Lim’ ialah pada 12 Februari tahun ini dengan tindakan keluar parti empat pemimpin DAP Melaka. Mereka ialah Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri itu, Goh Leong San (Duyong), Lim Jack Wong (Bachang) dan Chin Choong Se­ong (Kesidang).

Inilah yang dikatakan ibarat berkokok keliling kampung, kata bersikap terbuka tetapi sebenar­nya ekor bergelumang tahi.

Dan hakikatnya penentangan terhadap ‘Dinasti Lim’ tidak berlaku di Melaka sahaja, malah protes itu berlaku di beberapa negeri sebelum ini.

1. Johor

Pada April 2013, Pengerusi DAP dan Timbalan Pengerusi DAP Johor masing-masing Dr. Boo Cheng Hau serta Norman Fernandez yang telah lama berbakti dalam perjuangan DAP di Johor me­ngumumkan hasrat untuk tidak bertanding dalam pemilihan DAP akan datang. DAP diibaratkan kacang lupakan kulit apabila sesuka hati membawa masuk Liew Chin Tong daripada Pulau Pinang ke Johor untuk mengurangkan kuasa pemimpin DAP yang sudah lama berjasa di Johor.

Chin Tong hanya berada dalam DAP Johor tidak kurang daripada enam bulan dan sudah ada suara yang hendakkan ­beliau menjadi Pengerusi DAP Johor untuk menggantikan pemimpin DAP Johor yang sudah berdekad lama­nya ber­khidmat. Begitupun pe­mimpin DAP Johor, Ong Kow Meng menentang kepimpinan Cheng Hau kerana dikatakan me­ngamalkan kronisme. Cheng Hau pula tidak gembira dengan kronisme kepimpinan DAP pusat. ­

Bagaimanapun timbul persoalan, bukankah keadaan itu hanya membuktikan DAP sebenarnya sebuah parti yang juga banyak isu kronisme berleluasa?

2. Melaka

Pada 8 Oktober 2013, Leong San yang ketika itu Ketua Pembangkang DAP negeri meletak jawatan sebagai Ketua DAP Me­laka. Tindakan itu telah membuka pekung bahawa bukan setiap pemimpin dalam DAP sehaluan dengan ‘Dinasti Lim’. Ia mencetuskan dakwaan adakah DAP parti pertama di negara ini yang melancarkan gag order untuk mela­rang pemimpin dan ahli mereka bersuara?

Leong San meletak ja­watan kerana pe­mimpin DAP memberi tekanan da­laman kepada beliau ha­nya kerana memuji ke­pimpinan Datuk Seri Idris Haron, Ketua Menteri Melaka yang baru mengalih pucuk pimpinan negeri. Apakah memuji pihak lawan juga adalah satu dosa besar dalam DAP?

Dalam isu itu, Lim Jak Wong iaitu salah seorang Ahli Dewan Undangan Nege­ri DAP di Melaka turut meletak jawatan sebagai Ketua Whip Pembangkang negeri Melaka.

3. Kedah

Sekitar Disember 2013, Pe­ngerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik membangkitkan rasa ti­dak puas hati beliau terhadap ­kepimpinan Guan Eng dalam DAP apabila dikatakan ­menggunakan kuasa autokratik dan diktatornya untuk melantik Zairil Khir Johari menjadi pengerusi DAP negeri. Tindak tanduk DAP waktu itu dicap parti demokrasi yang pa­ling diktator apabila menolak Guan Aik, Pengerusi DAP Kedah yang menang melalui pemilihan ­negeri manakala Zairil dipilih hanya berdasarkan atas faktor lantikan CEC DAP.

Sistem demokrasi DAP berbeza dengan MCA iaitu dalam MCA, pemimpin negeri sememang­nya tertakluk dengan perlembagaan parti dan atas bidang kuasa Presiden Parti untuk me­lantik kepimpinan negeri. DAP pula berdasarkan kepada pemi­lihan ne­geri dan CEC DAP sendiri sanggup membelakangkan perlembagaan dan demokrasi parti dalam isu lantikan Zairil selaku Pengerusi DAP Kedah. Oleh itu, perjua­ngan Buku Jing­ga dan dasar DAP bersama Pakatan Rakyat yang mengatakan mereka akan menghormati dan menjunjung Perlembagaan negara harus dipertikaikan. Ini kerana perlembagaan parti sendiri pun tidak mampu dijunjung apatah lagi Perlembagaan negara sekiranya mereka menang?

4. Selangor

JENICE LEE
JENICE LEE

ADUN DAP Teratai, Jenice Lee pada pemilihan sebelum ini dan sebelum beliau dipecat pada April 2013 adalah pe­mimpin DAP Sela­ngor yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan DAP Selangor. Namun dikatakan kebangkitan Jenice di Selangor dipercayai akan mengancam kuasa pemimpin tertentu di negeri tersebut dan telah dipecat serta tidak diletak sebagai calon DAP dalam ­pemilihan parti yang terbaharu.

Di manakah logik dan rasional sekiranya seorang pemimpin DAP negeri yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan negeri parti tidak diletak sebagai calon dalam pilihan raya dan akhir­nya dipecat? Jenice mendakwa, ­keseluruhan DAP dikuasai oleh Kit Siang bersama anaknya iaitu Guan Eng selain Karpal Singh (mendiang) dan Tan Kok Wai. Keseluruhan parti DAP dikatakan dikuasai dan diketuai oleh empat pemimpin terbabit.

5. Sabah

Pada September 2013, Penasihat DAP Sabah, Dr. Hiew King Cheu meletakkan jawatannya dan keluar DAP. Hanya ke­rana pilihan Ketua Pembangkang DAP adalah Datuk Wilfred Bumbu­ring manakala King Cheu secara peribadi menyokong Datuk Lajim Ukin sebagai Ketua Pembangkang Sabah.

Bagaimanapun pemimpin DAP mahu menghadapkan King Cheu dalam lembaga disiplin DAP. Parti politik demokratik mana di dunia ini yang akan melaksanakan tindakan disiplin dalaman terhadap pe­mimpin mereka hanya kerana pemimpin itu menyokong calon ketua pembangkang yang berbeza? Apakah maksud de­mokrasi jika pemimpin DAP sen­diri tidak diberi pilihan me­nyokong mana-mana calon yang mereka suka?