Tetapi itulah, kenapa seorang ibu atau wanita? Sedangkan seorang ibu, apabila anaknya jatuh dan luka sedikit pun, dia sudah cukup risau. Inikan pula merelakan anaknya disakiti orang lain dan menjadi habuan seks. Ibu jenis apakah ini?

Kelmarin, seorang ibu dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di Johor Bahru, Johor, atas 10 pertuduhan melacurkan dua orang anak perempuan berusia 10 dan 13 tahun dan dia mengaku bersalah. Pada hari yang sama juga, kita membaca berita mengenai seorang wanita dihukum penjara 15 tahun kerana menendang anak tirinya yang berusia empat tahun sehingga mati di Negeri Sembilan.

Maka bila membaca semua ini, saya teringat semula penulisan aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye dalam akhbar ini di dalam kolum tetapnya yang bertajuk ‘Keganasan dalam kalangan wanita meningkat?’ Menurut beliau, setiap kali membaca berita mengenai kes buli atau keganasan yang dilakukan oleh wanita yang dikenali de­ngan lemah lembut dan berbudi bahasa, ia amat sukar untuk dipercayai.

Sebelum ini pun sudah ada kes isteri bunuh suami kerana perasaan cemburu. Banyak juga kes isteri mencede­rakan suami dilaporkan. Sudah juga ditularkan, kes-kes buli yang membabitkan pelajar perempuan, memukul dan menendang mangsa mengalahkan lelaki.

Betullah, mana perginya kelembutan dan kesabaran seorang perempuan atau wanita? Jadi masih bolehkah lagi dikaitkan kelembutan dan kesabaran itu dengan wanita? Untuk berlaku adil, tidak boleh kita menyimpulkan begitu kerana yang melakukannya adalah segelintir, bukan semua. Tetapi yang kecil boleh saja jadi besar. Yang tiada pun, boleh saja ada.

Tentu ada yang memberikan jawapan wanita pun manusia biasa. Punya hati dan emosi yang macam-macam. Tetapi hakikatnya, manusia biasa yang waras pemikiran­nya tidak menyukai keganasan, apatah lagi melakukannya. Manusia biasa mengelakkan dirinya terjebak dalam krisis yang merugikan dan menjejaskan kehidupan. Semuanya mahu hidup dalam tenang dan baik-baik sahaja.

Tekanan, kesusahan hidup dan masalah sekeliling tidak sepatutnya membuatkan kita berhenti menjadi seorang manusia. Ramai saja wanita yang tabah di luar sana, memilih untuk terus tabah dan tidak melakukan perbuatan yang bukan-bukan. Ramai yang boleh mencipta kebahagiaannya sendiri. Menjadikan hidup hari ini berbeza daripada kehidupan yang semalam.

Ibu tunggal misalnya, tidak sepatutnya terjebak dengan hal-hal yang memudaratkan diri sendiri dan anak-anak. Ada yang mempunyai teman lelaki tetapi tidak boleh diharapkan, hanya mahu mengambil kesempatan atas kesunyian wanita itu, akhirnya berlakulah kes rogol anak teman wanita, penderaan dan macam-macam lagi.

Kenapa mahu mendedahkan diri dan anak-anak dengan bahaya dan masalah? Adalah lebih baik memberi sepenuh perhatian kepada anak-anak kerana tidak ada orang lain untuk melindungi mereka dan mereka bergantung sepenuhnya kepada orang yang terdekat, iaitu ibu. Janganlah hanya memikirkan keseronokan yang bersifat sementara.

Menurut polis, kes-kes penderaan dan rogol kanak-kanak sering membabitkan anak teman wanita. Ada yang diharapkan oleh teman wanita untuk menjaga anak-anaknya ketika dia bekerja, tetapi teman lelakinya bertindak di luar kemanusiaan. Dan keadaan lebih buruk lagi, ibunya tahu perbuatan itu tetapi membiarkannya kerana tidak mahu kehilangan lelaki durjana itu. Ada juga yang terpengaruh dengan teman lelaki, turut bersubahat memukul anak sehingga mati atau setengah mati.

Inikah kehidupan yang dimahukan? Bahagia dan tenangkah hidup sebegitu? Hilang segala sifat keibuan. Apatah lagi sifat kewanitaan yang lemah-lembut dan pe­nyayang. Akhirnya menjahanamkan bukan sahaja kehidupan sendiri tetapi kehidupan anak-anak. Kesilapan seperti ini sukar untuk dimaafkan.

Maka menjadi seorang wanita, bukan sekadar mahu menunjuk cantik dan kemudiannya mengikut perasaan. Kebijakan berfikir boleh menghindarkan diri daripada mendapat masalah besar. Hidup ini kalau dah ada banyak masalah, jangan tambah lagi.