Bertam yang meninggal dunia pada 1997 adalah bekas profesor sains politik di Hunter College. Kemudian information overload dipo­pularkan oleh Alvin Toffler dalam buku terlarisnya, Future Shock (1970).

Tentunya definisi information overload dalam konteks buku Bertam tidak sama dengan era digital ketika ini.

Information overload atau limpahan maklumat kini menjadi satu masalah besar dan menuntut kaedah pengurusan, kefahaman dan disiplin yang tinggi untuk menangani fenomena yang datang era digital masa ini.

Ini sebenarnya antara virus yang perlu ditangani dengan bijaksana apabila kita melangkah ke era baru globalisasi.

Ini kerana globalisasi itu sendiri dunia tanpa sempadan apabila manusia di seluruh dunia berhubung antara satu dengan lain di jaringan Internet. Ini pemangkin bertambahnya laman sesawang yang menjadi punca penyebaran maklumat.

Gelombang maklumat ini mencipta satu rupa kehidupan sosial yang baharu, dunia seolah-olah menjadi sempit dan maklumat bergumpalan bagai awam hitam mencari sasaran.

Keterujaan dengan teknologi tanpa kesedaran sosial yang tinggi adalah perangkap. Teknologi juga ada buruknya kalau tidak ‘dimanusiakan’ oleh manusia.

Teknologi yang digunakan tanpa perhitungan manusia membuka ruang pada maklumat yang tidak tepat atau sama sekali tidak benar.

Maklumat memang diperlukan kerana dengan maklumat kita boleh menakluki dunia.

Malah dunia menjadi semakin kecil dengan teknologi tercanggih apabila aliran maklumat mencatatkan kepantasan yang tidak pernah terbayangkan oleh akal sebelum ini.

Misalnya peristiwa yang berlaku di New York saat ini akan sampai ke tangan kita pada masa itu juga.

Profesor sosiologi di Universiti Kent, United Kingdom, Frank Furedi menganggap limpahan maklumat sebagai banjir yang boleh menenggelamkan kita dalam gelombang data.

Ini kerana limpahan maklumat mewujudkan jurang antara maklumat difahami yang menuntut kita berfikir untuk memahaminya.

Disebabkan terlalu banyak maklumat yang sampai kepada kita menerusi perkakas elektronik terutama telefon bimbit, kegagalan mengurus dan menyaring dengan mudah menjerumuskan kita dalam bahaya limpahan maklumat yang digambarkan sebagai banjir oleh Frank Fureli.

Analoginya mudah, kita perlukan air dan bukan banjir.

Terjerat dengan limpahan maklumat akan membuatkan kita kembali tidak bermaklumat.

Ini disebabkan kegagalan untuk memetik dan menyaring maklumat yang diperlukan dan mengabaikan maklumat yang datang dari sumber yang tiada wibawa.

Media sosial seperti Facebook, Twitter, e-mel dan Instagram menjadi pelantar membawa sekian banyak maklumat kepada kita.

Tanpa disiplin yang kuat dan pengetahuan tentang limpahan maklumat, kita pasti menjadi mangsa limpahan maklumat sosial atau social information overload.

Dalam satu kaji selidik yang dibuat McKinsey Global Institute pada 2017 mendapati 28% daripada masa bekerja dihabiskan untuk menyemak e-mel.

Bayangkan apabila kegagalan menguruskan maklumat ini berlaku secara berterusan?

Daripada sisi lain, kegagalan menguruskan limpahan maklumat dengan baik akan menjejaskan ketepatan dan kepantasan dalam membuat sesuatu keputusan.

Dalam kata lain fenomena ini membuatkan kita lemah dalam membuat sebarang keputusan kerana pengaruh dan kebergantungan pada maklumat berbagai-bagai.

Maka kita perlu mula bertindak berdepan dengan fenomena limpahan maklumat ini. Pertama, menyaring dengan mengenal pasti sumber maklumat berkenaan. Kalau tidak berwibawa, abaikan.

Kedua, hadkan maklumat yang masuk ke perkakas peribadi seperti telefon bimbit. Ketiga, buktikan kita yang kawal maklumat. Bukan sebaliknya. Percayalah, di luar sana berduyun-duyun manipulator, konspirator yang sedang mencari mangsanya.