Gaya hidup berlebih-lebihan terutama dalam penggunaan menjadi antara punca utama kepada pelbagai masalah termasuklah masalah berkaitan persekitaran.

Begitu juga masalah peningkatan sisa makanan akibat daripada amalan membazir makanan. Di Malaysia sahaja, 38,000 tan sampah dibuang setiap hari dan jumlah ini sentiasa meningkat tahun ke tahun.

Dari jumlah sampah yang dibuang ini, 45 % atau lebih kurang 17,000 tan sampah adalah sisa makanan. Sebanyak 20 % atau 3,400 tan daripada sisa makanan ini sebenarnya adalah sisa makanan yang boleh dielakkan.

Ada ketikanya pula berlaku peningkatan sisa makanan sebanyak 15 hingga 20 % pada musim-musim perayaan atau hari-hari tertentu seperti bulan Ramadan, Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidil Fitri serta musim cuti sekolah.

Lebih membimbangkan, sisa makanan yang meningkat ini sebahagian besarnya (40 %) berpunca dari isi rumah (keluarga) berbanding pasar basah (25%), restoran (23%) dan hotel (7 %).

Kenapakah peningkatan pembaziran makanan berlaku? Antara punca yang boleh disenaraikan ialah pembelian berlebihan, penyediaan makanan berlebihan, pembelian barangan makanan mudah rosak secara berlebihan, penyimpanan makanan yang lemah, pembelian makanan kerana status atau gaya hidup dan sebagainya.

Dari punca-punca yang disebutkan ini, perkataan ‘berlebihan’ diulang berkali-kali. Malah seolah-olah tidak dapat dielakkan dari disebut atau digunakan. Hakikatnya, inilah identiti kehidupan masyarakat moden iaitu kelekaan dan keterikatan kepada gaya hidup berlebih-lebihan.

Apakah pandangan hidup Islam terhadap hal ini? Agama Islam adalah agama yang tidak menerima perbuatan berlebih-lebihan atau pembaziran (al-Israa’: 27 dan al-A’raaf:31).

Malah, orang-orang yang melakukan perbuatan ini dianggap sebagai “saudara-saudara syaitan.” Jadi, adakah kita mahu dikaitkan dengan makhluk kufur tersebut?

Bukan itu sahaja, makanan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam pandangan hidup Islam. Hal ini kerana, makanan adalah ciptaan dan milik Allah SWT (al-An’aam:11-12) dan merupakan satu anugerah kepada manusia (al-Baqarah:172). Maka, nikmat ini perlu disyukuri (Saba’:15) bukan dibazir sesuka hati.

Makanan ciptaan Allah SWT bukan hanya untuk manusia tetapi juga makhluk Allah SWT yang lain, misalnya haiwan. Oleh itu, bukan hanya manusia yang berhak terhadap makanan tersebut. Jadi kenapakah kita seringkali lupa dan memperlakukan makanan sewenang-wenangnya?

Hakikatnya, kita hamba-Nya yang serba lemah dan tidak mampu untuk menghasilkan makanan kita sendiri. Hanya Allah SWT yang berkuasa menjadikan makanan itu.

Hal ini hanya dapat difahami dan diinsafi insan yang mengambil masa untuk berfikir akan kejadian makanan dan kerana itulah kita dituntut untuk mengambil iktibar daripada kejadian makanan (A’basa: 24 dan an-Nahl:66).

Janganlah juga kita lupa bahawa dalam makanan yang kita makan setiap hari ada keberkatan tertentu. Perkara ini disebut dalam sebuah hadis Rasulullah SAW; daripada Jabir r.a. bahawa Nabi SAW memerintahkan supaya jari-jemari dijilat dan pinggan dikesat lalu bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bahagian manakah terdapatnya keberkatan.” (HR Muslim).

Dalam bahasa Arab, perkataan “barakah” bermaksud “tumbuh” dan “bertambah.” Dalam bahasa Melayu pula, ia membawa maksud “mendatangkan kebaikan kepada seseorang.”

Jika hal ini dikaitkan dengan makanan, maka secara ringkasnya boleh dikatakan bahawa makanan yang penuh dengan keberkatan itu akan sentiasa cukup, memberikan kepuasan, menyihatkan dan mendatangkan kebaikan kepada pemakan atau pemiliknya.

Hasilnya, pastilah tubuh badan menjadi sihat dan dapat berfungsi sebagai manusia biasa serta dapat melakukan perkara-perkara baik seperti beribadat, bekerja, beriadah, membantu orang lain dan sebagainya.

Jadikanlah Ramadan kali ini tanpa pembaziran.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).