KEBANYAKAN papan tanda larangan mandi yang ditempatkan di beberapa kawasan berisiko termasuk pantai, air terjun dan sungai tidak diendahkan oleh orang ramai. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Lebih menyayat hati apabila tubuh kaku mangsa hanya berjaya ditemukan beberapa hari selepas kejadian.

Terdapat juga kes melibatkan beberapa orang mangsa, sekali gus apabila ada antara mereka cuba menyelamatkan ahli keluarga atau rakan yang berhadapan masalah ketika berada di dalam air.

Kebimbangan saya sebenarnya turut dikongsi ramai pihak ter­utama mereka yang pernah terlibat dalam operasi menyelamat mangsa lemas.

Beberapa tahun lalu, Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia (Life Saving Society Malaysia- LSSM) telah berjumpa dengan saya untuk berkongsi idea bagi menubuhkan sebuah badan khas untuk mengatasi masalah lemas.

Saya telah memaklumkan per­kara itu kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada masa itu, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang kemudiannya bersetuju dengan idea tersebut, lalu tertubuhlah Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) pada awal 2016.

Saya turut dilantik menjadi ahli MKAA dan meneruskan usaha bagi menimbulkan kesedaran tentang bahaya lemas kerana bilangan kes yang semakin mening­kat saban tahun.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kejadian mati lemas telah me­ningkat daripada 260 kes pada 2016 kepada 327 kes pada tahun lalu. Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja sejumlah 65 insiden mati lemas telah direkodkan.

Saya berasa terharu dengan keprihatinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu lemas ini sehinggakan beliau menyatakan supaya masalah tersebut perlu ditangani dengan segera.

Saya turut bersama memberi sokongan apabila Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan di Air 2018 pada 16 Mac lalu di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson.

Ia menunjukkan kesungguhan kerajaan menangani isu lemas yang meragut banyak nyawa setiap tahun.

Noh turut mengarahkan kempen yang sama diadakan di pe­ringkat negeri dan daerah ter­utamanya setiap kali musim cuti sekolah bermula.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga bercadang mewujudkan undang-undang keselamatan di air yang bertujuan menguatkuasakan papan tanda arahan larangan mandi yang ditempatkan di beberapa kawasan berisiko termasuk pantai, air terjun dan sungai.

Ketika ini kebanyakan arahan larangan mandi itu tidak di­endahkan oleh orang ramai dan adalah diharapkan sikap mereka akan berubah dengan adanya undang-undang itu nanti.

Penguatkuasaan undang-undang ini penting kerana JBPM telah mengenal pasti 12 kawasan berisiko tinggi dan 34 kawasan berisiko di seluruh negara.

Sesuatu kawasan itu dikategorikan sebagai berisiko tinggi jika terdapat kejadian mati lemas melebihi lima mangsa.

Kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi adalah Sungai Kampung Batu Payung di Sabah; Sungai SKC Kampung Timah, Sungai Chiling, Su­ngai Gasi, Air Terjun Sungai Sendat dan Empangan Semenyih di Selangor; Sungai Kampung Sabak, Pantai Nipah dan Muara Tok Bali di Kelantan; Air Terjun Lata Berembun dan Air Terjun Chamang di Pahang serta Teluk Bahang di Pulau Pinang

Berdasarkan laporan kes lemas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap jam lebih 40 nyawa hilang akibat lemas di seluruh dunia atau 372,000 nyawa setiap tahun.

Untuk mencegah kejadian lemas, kita mungkin boleh melaksanakan 10 langkah yang digariskan oleh WHO iaitu:

i) Meletakkan pagar atau sempadan di kawasan air yang berbahaya

ii) Memastikan tempat asuhan kanak-kanak jauh daripada bahaya air dan sentiasa diawasi penjaga/penyelia bertauliah.

iii) Pelajar perlu diberikan kursus renang, keselamatan di air dan cara menyelamat yang betul.

iv) Orang ramai perlu dididik tentang cara menyelamat yang betul dan pernafasan mulut ke mulut (resuscitation).

v) Meningkatkan kesedaran mengenai lemas dan bagaimana ia boleh meragut nyawa kanak-kanak.

vi) Laksanakan dan kuatkuasakan peraturan keselamatan berkaitan aktiviti menaiki bot, kapal dan feri.

vii) Meningkatkan sistem tebatan banjir di peringkat tempatan dan seluruh negara.

viii) Mengkordinasikan usaha pencegahan banjir oleh pelbagai sektor serta menyelaraskan agenda berkaitan.

ix) Membangunkan Pelan Ke­selamatan Aktiviti Air di peringkat kebangsaan.

x) Menumpukan kajian kepada isu-isu berkaitan lemas.

Ada di antara langkah-langkah tersebut telah pun dilaksanakan oleh pihak berkuasa dan menjadi tanggungjawab kita untuk menyokong dan memastikan kejayaannya.

Kita perlu ingat bahawa segala perancangan dan pelaksanaan hanya akan mencapai kejayaan jika semua pihak turut memainkan peranan mereka dengan penuh tanggungjawab.

Jika tidak, kita akan berterusan membaca dan mendengar berita sedih mengenai kematian akibat lemas yang akan ditangisi dan disesali ahli keluarga dan sahabat handai mangsa.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA).